22 September 2021, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebagai usaha untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan kualiti penulisan dalam kalangan penulis karya sastera terutamanya penulis pemula, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP telah menganjurkan Forum Sastera: Penulis, Antara Bakat dan Minat yang menampilkan YBrs. Dr. Lim Swee Tin, Zaen Kasturi dan Saifullizan Yahaya manakala Nazmi Yaakub selaku moderator. Forum yang diadakan pada pukul 10 pagi tadi dapat ditonton menerusi laman sosial DBP.

Forum Sastera: Penulis, Antara Bakat dan Minat.

Forum tersebut merupakan antara aktiviti yang dianjurkan di bawah Program Pembinaan Penulis Malaysia sejak dari tahun 2019 yang menampilkan penulis tersohor tanah air. Antara objektif program tersebut adalah untuk melahirkan penulis dan pengarang yang bakal menghasilkan karya sastera dalam konteks yang lebih luas, sekali gus berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Terdahulu Program Pembinaan Penulis Malaysia telah diadakan pada tahun 2019, iaitu bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP yang telah disertai sebanyak 85 orang peserta.

Apabila berbicara berkaitan bakat dan minat yang memainkan peranan penting dalam diri seorang penulis. YBrs. Dr. Lim Swee Tin berpendapat bahawa bakat merupakan kebolehan semula jadi yang terdapat dalam diri seseorang penulis. Walau bagaimanapun, ada juga yang berpendapat bahawa bakat merupakan kurniaan daripada Tuhan. “Namun saya percaya bahawa bakat mampu dipupuk dan dikembangkan dalam apa-apa bidang sekalipun,” jelas beliau.

Manakala, beliau berpendapat bahawa minat pula muncul daripada rangsangan luaran yang turut boleh dipupuk dan dikembangkan. Hal tersebut dapat dilihat pada awal penglibatan beliau dalam bidang Kesusasteraan Melayu iaitu rangsangan luaran pada ketika itu telah berjaya menarik minat beliau untuk bergiat aktif dalam bidang Kesusasteraan Melayu. Namun beliau turut menegaskan bahawa minat tidak boleh dibuat-buat kerana ia lahir dari dalam diri seseorang penulis.

“Minat juga saling berkait dengan bidang keilmuan. Melalui ilmu, kita akan berusaha untuk menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti berdasarkan pembacaan,” tambah YBrs. Dr. Lim Swee Tin yang turut disokong oleh Zaen Kasturi.

Untuk apa anda menulis? Kalau anda ingin menulis kerana popular, maka anda telah tersilap memilih bidang.

Petikan kata-kata Pemenang Hadiah Noble 1946, Herman Hesse.

Selain itu, Zaen turut berkongsikan tentang kepopularan dalam dunia sastera. Beliau mengatakan bahawa untuk menjadi seorang penulis, populariti bukan sesuatu yang harus dikejarkan. Hal ini disebabkan populariti tidak akan kekal lama. Ujar beliau lagi, pada satu peringkat, penulis tersebut seharusnya mempunyai idealisme dan mereka dapat mengetahui hala tuju mereka dalam dunia sastera tanah air.

Tidak dapat dinafikan bahawa dunia sastera pada masa kini telah berubah dan tidak seperti dahulu. Hal tersebut dapat dilihat apabila kemunculan penerbit indie pada tahun 2010 yang sekali gus melahirkan lebih banyak penulis baharu pada ketika itu. Menurut Saifullizan, fenomena tersebut dapat mengurangkan kos percetakan sekiranya dibandingkan pada waktu sebelum itu.

Pada tahun yang sama juga, media sosial seperti Facebook telah mula mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat dan menjadikan platform tersebut sebagai saluran untuk menyampaikan kritikan secara langsung.  Namun beliau berpendapat bahawa perkembangan tersebut merupakan sesuatu yang positif kerana kita dapat melihat kehadiran kumpulan penulis yang berbeza, begitu juga dengan idea dan pemikiran mereka.

Ikuti siaran penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.