Oleh S. Syazan
15 Februari 2022, 11:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sudah pasti menjadi mimpi buruk terhadap industri penulisan. Tambah pula, dengan keadaan teknologi semakin maju menjadikan permintaan buku fizikal semakin kurang mendapat perhatian. Namun begitu, keadaan ini bukan menjadi alasan kepada masyarakat, khususnya golongan muda untuk tidak mengambil peluang untuk minat membaca.

Oleh itu, Persatuan Penulis Perlis (3P) telah menganjurkan program “Kursus Penulisan Buku Kanak-kanak” pada 13 Februari 2022 bertempat di Auditorium Perpustakaan Awam Kangar. Tujuan program adalah untuk membantu penulis membina keyakinan dan pengetahuan dalam menghasilkan penulisan buku kanak-kanak. Panel jemputan yang memberikan perkongsian pada sesi tersebut ialah Tuan Haji Muhammad Haji Harun dan Encik Kamarudin Onn.

Antara perkongsian yang diberikan oleh panel ialah sebelum sesebuah buku kanak-kanak itu mula ditulis, penulis perlu berfikir seperti kanak-kanak terlebih dahulu dan mengetahui tahap sasaran yang ingin menjadi perhatian. Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan kanak-kanak ini berbeza dengan penulisan remaja atau dewasa. Oleh itu, penulis bertanggungjawab dalam menghasilkan karya yang baik untuk mencorak pengetahuan kanak-kanak.

Penulisan buku kanak-kanak perlu mempunyai lebih banyak gambar berbanding dengan teks semata-mata. Mengikut psikologi, kanak-kanak lebih tertarik untuk melihat gambar bagi membina pengetahuan mereka, selain mudah untuk difahami. Oleh itu, penulis perlu mengenali tahap pemikiran kanak-kanak terlebih dahulu sebelum mula menulis.

Walaupun negara kita masih kurang mendapat perhatian dalam memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat, tetapi sebagai penulis kita tidak boleh berputus asa. Sudah pasti usaha yang kita tanam pada hari ini akan mula membuahkan hasil pada suatu hari nanti.  Semoga para penulis akan terus menghasilkan karya bagi memeriahkan industri penulisan dalam negara.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.