19 Oktober 2021, 07:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

MPR (Minggu Penulis Remaja) sememangnya program yang berjaya melahirkan bakat baharu dalam dunia penulisan. Hal ini kerana kebanyakan dalam kalangan penulis terkenal dan mapan lahir daripada program MPR.

Mereka ialah Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari (Allahyarham), Shamsuddin Othman, Nisah Haron, Faisal Tehrani, Hizairi Othman, Ahmad Patria Abdullah, Uthaya Sankar SB, Roslan Jomel, Lily Haslina Nasir, Salina Ibrahim, Siti Raihani Mohd Saaid, Dr. Fahd Razy, Hafizah Iszahanid, Wan Nor Azriq dan Ridzuan Harun (hanya menyebut beberapa nama sahaja).

Karya mereka bukan sahaja mendapat pengiktirafan dari dalam negara, malah dari luar negara juga seperti Anugerah Sasterawan Muda MASTERA dan Anugerah S.E.A Write. Maka itu, penulis muda/pemula disarankan untuk menyertai program ini bagi mengembangkan bakat penulisan kreatif dalam kalangan remaja untuk menghasilkan karya yang bermutu.

MPR merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1985 lagi. Program ini selaras dengan matlamat kedua DBP, iaitu memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.

Penyertaan MPR terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia yang berumur 15 hingga 24 tahun, dan pernah menerbitkan karya dalam media cetak khususnya majalah terbitan DBP.

Seperti tahun yang lalu, MPR pada kali ini turut dilaksanakan secara dalam talian berikutan kebiasaan baharu yang perlu diikuti oleh semua masyarakat disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Selari dengan perkembangan dunia digital, peserta MPR 2021 akan didedahkan ilmu berkaitan dengan proses penerbitan buku melalui digital yang boleh dilakukan sendiri melalui slot “Pengenalan Penerbitan Digital”. Inilah kelainan yang bakal ditampilkan dalam MPR kali ini.

Selain itu, MPR 2021 akan diisi dengan program “Sesi Ceramah dan Bengkel Penulisan (Puisi dan Cerpen)”, “Motivasi Penulisan daripada Editor Majalah Dewan” dan “Sesi Perkongsian Rakan Sebaya Alumni MPR”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.