24 September 2021, 21:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – “Adab Melayu berbudi bahasa. Jika hendak menegur, bicaranya lembut tetapi halus menikam.” Itulah petikan yang terdapat dalam dialog video pendek bertajuk “Gapura”. Video pendek tersebut yang dihasilkan oleh Azree Ariffin dan Wahidah Najib telah berjaya memikat hati panel juri, sekali gus menobatkan mereka sebagai johan dalam Pertandingan Video Pendek Cakna Bahasa anjuran Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWT).

Pertandingan tersebut telah diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan yang telah berlangsung secara dalam talian. Peserta dikehendaki untuk menghantar hasil karya video pendek mereka kepada pihak penganjur sebelum 30 Julai 2021 untuk proses penilaian. Video pendek yang dihasilkan perlu memaparkan tema Cakna Bahasa yang dapat mendidik masyarakat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Pertandingan ini secara tidak langsung dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan cakna bahasa dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu selari dengan peredaran zaman. Kelaziman penggunaan istilah pinjaman bahasa Inggeris yang semakin meluas boleh digantikan dengan penggunaan istilah bahasa Melayu yang telah dibentuk oleh DBP.

“Gapura”, karya Azree Ariffin dan Wahidah Najib yang berkisarkan tentang dua zaman yang berbeza, iaitu zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman moden.

Dengan membawa plot penggunaan bahasa Melayu antara dua zaman yang berbeza, “Gapura” mengetengahkan watak Laksamana Hang Tuah daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka, manakala watak Nadiah pula berada dalam zaman moden pada tahun 2021. Sebagai johan, Azree Ariffin dan Wahidah Najib menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2000, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

Naib johan, Noorasiah Hassan yang menghasilkan video pendek “Jom Cakna Bahasa: Bersama Iman dan Mama Sya”.

Naib johan disandang oleh Noorasiah Hassan dengan video pendek yang berjudul “Jom Cakna Bahasa: Bersama Iman dan Mama Sya” yang menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1000, sijil penyertaan dan hadiah iringan. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh video pendek “Cakna Bahasa”, hasil karya Muhammad Firdaus Kamarulzaman.

Selain itu, sebanyak tiga hadiah sagu hati pula diberikan kepada video pendek “Cakna Bahasa: Setiap Istilah, Indah Dimadah”, karya Muhammad Shazren Baherudin dan Muhammad Akmal Mohd Jazlee, video “Keluargaku Cakna Bahasa”, karya Khadijah Ishak, dan video “Cakna Bahasa: Bahasa Melayu Bahasa Kita”, karya Nur Ain Najiha Sharuddin dan Lau Joo Long.

Kesemua video pendek pemenang pertandingan tersebut boleh ditonton menerusi laman YouTube KEMUDI SELANGOR Official.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.