Oleh Miss Jericle
9 Julai 2021, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Program bual bicara anjuran Bicarawara #SEMBANGPIS pada kali ini mengupas topik “Mengapa Menggali Teologi di Turki” bersama-sama Ruqayya Azhari. Ruqayya merupakan graduan Universiti Istanbul dalam bidang Ilahiyat, dalam bahasa Inggerisnya Islamic Theology. Beliau pulang ke Malaysia setelah menamatkan pengajian pada tahun 2019 dan kini bertugas di Yunus Emre Institute Kuala Lumpur. Program yang dihoskan oleh Hafiz Latiff ini telah berlangsung pada 7 Julai, pukul 9 malam.

Ruqayya memulakan perkongsian dengan memetik kata-kata Tuan Haji Ahmad Azam yang dicatatkan dalam naskhah Dari Kuala Lumpur ke Istanbul, terbitan Ilham Books. “Di Malaysia, kita sudah banyak ustaz dan ustazah yang merupakan graduan dari negara Arab Timur Tengah. Namun melanjutkan pengajian agama di Turki ini jarang-jarang orang dengar. Kita mahu lihat juga golongan agamawan hasil daripada sistem pendidikan Turki.”

Setelah mengikuti kursus bahasa Turki selama enam bulan, Ruqayya kemudiannya menyambung pengajiannya di Fakulti Ilahiyat. Beliau turut berkongsikan tentang pengalaman sepanjang melanjutkan pengajian di sana iaitu bahasa Turki hanya digunakan sebanyak 70 peratus sebagai bahasa pengantar di fakulti beliau. Manakala selebihnya menggunakan bahasa Arab. Oleh itu, pelajar wajib lulus kelas persediaan bahasa sebelum memulakan pengajian ijazah sarjana muda.

Menyentuh mengenai perbezaan pengajian di negara Arab Timur Tengah dan Turki, Ruqayya mengatakan bahawa silibus di Turki lebih bersifat umum, iaitu semua cabang ilmu Islam diajar sepanjang tempoh pengajian tanpa sebarang pengkhususan. Manakala di Universiti Yarmuk Jordan, cabang ilmu tersebut dibahagikan dan diajar secara terperinci. Beliau  turut berkongsikan bahawa beliau berkesempatan mengikuti program pertukaran pelajar ke Universiti Yarmuk selama satu semester.

Tambah Ruqayya lagi, keramahan rakyat Turki banyak membantu penguasaan bahasa beliau ketika belajar di sana.  Ruqayya menghimpunkan segala kenangan pahit dan manis itu di dalam naskhah Dari Kuala Lumpur ke Istanbul.

Necip Fazil Kisakurek

Sebagai pencinta sastera, Ruqayya mengagumi tokoh sasterawan Turki, iaitu Yunus Emre. Selain itu, beliau banyak membaca karya sasterawan moden Turki seperti Necip Fazil Kisakurek. “Yang menariknya tentang Turki, remaja di Turki amat gemar membaca karya sastera sebagai bahan bacaan harian dan sering berdiskusi isu sekitar dunia sastera,” ulas Ruqayya tentang dunia sastera di Turki.

Lebih banyak program bual bicara ilmiah yang mengupas pelbagai isu seputar dunia pembukuan boleh ditonton melalui laman Facebook Bicarawara.

#SEMBANGPIS pada kali ini menampilkan Ruqayya Azhari, penulis naskhah Dari Kuala Lumpur ke Istanbul.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.