26 Jun 2021, 20:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rumah penerbitan Jiwa telah menganjurkan program “Malam Ini Kita Cerita Tentang Novel JIWA”. Sesi perkongsian kali ini, mengupas dua buah novel daripada penulis tanah air.

Poster program yang dimuatkan dalam media sosial.

Novel pertama ialah Penulis Yang Disayangi Tuhan, karya Bahruddin Bekri dan yang keduanya, karya oleh Raiha Bahaudin yang bertajuk Kunang Pesisir Morten. Turut sama ialah Shamsul Amin dan Azzar AR yang bertindak sebagai pengulas.

Menurut Bahruddin, novel Penulis Yang Disayangi Tuhan memuatkan cerita daripada hasil gabungan pengalaman yang dilalui oleh beliau sendiri. Kisahnya berkaitan dengan pengalaman beliau semasa tinggal di rumah setinggan selama setahun, pergaulannya bersama-sama orang Indonesia, dan turut diselitkan kisah beliau sepanjang terlibat dalam bidang penulisan.

Tambahnya lagi, dalam menghasilkan karya, beliau lebih suka memilih untuk menulis perkara yang memang diketahui atau dialami olehnya, berbanding dengan menulis sesuatu yang perlu dilakukan kajian terlebih dahulu. Hal ini pastinya akan mengambil masa yang lama untuk menyiapkan karya tersebut.

Bahruddin Bekri.

“Pada awalnya, saya berniat untuk menghasilkan karya yang mengajak masyarakat untuk berfikir sama, namun saya tertanya-tanya sama ada pembaca memang akan berfikir atau sebaliknya. Kemudian, saya ubah niat tersebut. Saya berharap akan ada dalam kalangan pembaca yang akan menanam minat menjadi penulis hasil daripada pembacaan novel nukilan saya,” ujarnya.

Bagi Raiha, novel Kunang Pesisir Morten mengisahkan memori zaman kanak-kanak beliau yang ingin digambarkan dalam bentuk penulisan. Selain menyentuh tema perpaduan, diskriminasi, kemiskinan dan pendidikan pada tahun 80-an, beliau sebenarnya ingin memberikan gambaran perkembangan pembangunan di Kampung Morten itu sendiri.

Raiha Bahaudin.

Program yang berlangsung pada 25 Jun 2021, jam 9.30 malam ini disiarkan melalui saluran Twitter Space.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.