Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Nurul Julia Alani Henry
Ainon Mohd selaku Pengerusi PTS Media Group Sdn. Bhd. dan Penasihat ABS Ainon Holdings memang terkenal sebagai individu yang bijak memanipulasikan kelebihan media sosial untuk mengembangkan potensi diri agar memperoleh kejayaan. Atas faktor kelebihan tersebut, Ainon Mohd, yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), telah diundang khas oleh Bahagian Pemasaran dan Pengedaran, DBP sebagai penceramah bagi menjayakan beberapa siri kursus bertajuk “Kursus Pemasaran Penulis”. Kursus yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom berlangsung pada waktu malam, pukul 8.30 hingga 10.00 malam. Yang menariknya, kursus ini telah dibahagikan kepada beberapa siri berdasarkan kategori penulis yang berkarya dengan DBP. Salah satu kategorinya ialah kursus untuk kumpulan penulis karya sastera yang berlangsung dalam dua siri, iaitu pada 14 dan 16 Jun 2021.
Dengan mengambil asas dalam teknik pemasaran sesuatu barangan, perkara utama yang ditekankan oleh Ainon ialah penulis harus menjual diri sendiri, menjenamakan diri, mencipta permintaan, mengadaptasikan diri dengan perubahan dalam dunia digital pada masa ini, dan memanfaatkan seratus peratus semua media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok dan Youtube. Melalui semua strategi itu, Ainon memberikan keyakinan bahawa penulis akan berjaya menarik peminat karya sastera untuk menjadi pengikut akaun media sosial milik penulis itu. Tambah beliau, dalam usaha menjual diri, dan pada masa yang sama mengumpulkan pengikut melalui media sosial, penulis harus memikirkan kandungan yang bukan sahaja kreatif, tetapi ada nilai tersendiri yang menggambarkan diri penulis. Secara tidak langsung, hal itulah yang akan menjadi jenama bagi penulis itu. Semua penulis tanpa mengira apa genre yang menjenamakan dirinya harus menyedari bahawa pasaran, termasuklah pasaran untuk karya sastera sudah mula dicipta menggunakan media sosial. Apabila penulis itu sudah berjaya mengumpulkan banyak pengikut, barulah fikirkan bagaimana untuk mencipta kandungan dan memasarkan produk, iaitu karya sastera atau buku yang mereka hasilkan.
Bercakap tentang karya sastera yang ditunjangi oleh sasterawan, Ainon melihat bahawa sasterawan ada peluang mencipta sumber pendapatan, yang diibaratkan sebagai “sungai-sungai wang”, yang boleh memberikan sumber pendapatan yang banyak kepada sasterawan tersebut. Beliau berkata demikian kerana menyedari bahawa zaman ini ialah zaman ekonomi bakat, yang bermaksud, semua orang harus menjual bakat dan tidak hanya menumpu pada menjual produk sahaja. Apabila dikaitkan dengan sastera pula, karya sastera dicipta oleh penulis yang ada bakat mencipta cerita. Cerita itu pula diperlukan oleh semua orang, khususnya oleh syarikat produksi atau penerbit rancangan TV yang memang mencari cerita untuk mengisi slot drama, telefilem dan filem. Maka itu, penulis yang memiliki bakat bahasa, dalam erti kata lain pandai menyusun kata dan ayat sehingga susunan kata dan ayat itu menghasilkan cerita yang baik sebagai produk dan jenama penulis itu sendiri.
Apabila berkata tentang sastera pula, sering kali kita mendengar sastera ini suatu bidang yang kurang nilai ekonomi. Akan tetapi, Ainon mengingatkan penulis sastera atau sasterawan agar tidak “meratap” atau “merintih” apabila mendengar tanggapan negatif itu, atau apabila mendengar orang mengatakan tidak menyukai sastera atau tidak meminati sastera. Beliau mengakui, apa-apa permintaan berkaitan sastera pada masa ini, menang sangat rendah. Maka itu, penulis dan sasterawan itu sendiri harus berusaha menaikkan permintaan berkaitan sastera. Misalnya, penulis atau sasterawan harus menjadikan dirinya sebagai individu yang sangat diingini, khususnya oleh persatuan sastera, atau diperlukan sebagai tokoh untuk menjayakan acara sastera. Selain itu, Ainon juga menyatakan, penulis jangan hanya bergantung pada cara dan gaya lama dalam memasarkan karya sastera. Penulis tidak boleh hanya berharap cerpennya disiarkan dalam akhbar atau majalah, atau puisinya dibaca dalam acara baca puisi. Semua itu cara lama yang tidak dapat menghasilkan permintaan yang tinggi.
Pada zaman ini, strategi pemasaran sudah berbeza. Pemasaran yang harus difahami oleh semua orang ialah bukan menjual, tetapi menaikkan permintaan atau mencipta permintaan. Dengan adanya permintaan barulah ada jualan. Hal ini sama dengan pemasaran karya sastera. Media sosial pula menjadi platform pemasaran yang sangat berkesan untuk menjual diri dan melariskan karya sastera. Semua orang juga mampu memiliki saluran TV sendiri, iaitu Youtube yang tersedia dengan percuma untuk mempromosikan diri dan karya, malah saluran itu boleh menghasilkan pendapatan jika kandungan yang kita tayangkan itu mampu meraih tontonan yang tinggi dan pengikut yang banyak.
Ternyata, kursus yang diadakan secara percuma ini amat membantu penulis membuka minda mereka bagaimana untuk memasarkan diri sebagai penulis, seterusnya memasarkan karya melalui platform media sosial. Selain penulis senior, kursus ini turut dihadiri oleh penulis muda seperti Ruhaini Matdarin, Shield Sahran dan Chua Pei Yong.