Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Muzik Kosmos bertemakan “Malam Rintihan Cakerawala” merupakan program yang dirangka di bawah Inisiatif Seni Angkasa bagi menarik minat masyarakat terhadap bidang astronomi secara khusus dengan menjadikan seni kreatif sebagai medium penyampaian maklumat.
Program tertutup yang disiarkan secara dalam talian ini merupakan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Planetarium Negara dengan kerjasama Universiti teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Planetarium Negara dalam satu kenyataan berkata, Program yang berlangsung ini dilaksanakan dengan pelibatan golongan seni melalui penghasilan karya seperti muzik, puisi dan syair untuk memberikan kefahaman tentang astronomi kepada masyarakat
Mesej berkaitan keindahan angkasa, penciptaan teknologi dan kerosakan bumi berjaya disampaikan melalui persembahan karya kreatif yang lebih santai.
Tambahnya lagi,
Keunikan serata kehalusan dalam bait-bait kata yang bersifat imaginatif menjadi medium dalam penyampaian ilmu astronomi kepada masyarakat selain muzik iringan dalam persembahan akan dikompos dan digubah oleh penggiat muzik tempatan.
Menurut Planetarium Negara, persembahan program ini juga bertujuan untuk mempopularkan semula dikir barat, puisi dan gurindam tradisional dalam kalangan generasi muda.
Program yang dihadiri sebanyak 300 peserta secara fizikal di Teater Angkasa, Planetarium Negara menerima sebanyak 2000 perhatian melalui tayangan secara langsung dalam media sosial rasmi Planetarium Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah yang terlibat sebagai peserta antaranya termasuklah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA); Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM); Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia; Jabatan Muzik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas; Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI, YBrs. Puan Ruziah Haji Shafei dan Pengarah Planetarium Negara, YBrs. Tuan Haji Shahruddin Haji Yusof.