Diterbitkan pada 14 November 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pasukan Gemala Rentak Buana Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM) berjaya menempa nama apabila dinobatkan sebagai Johan Sayembara Puisi Tari Antarabangsa 2024 mengalahkan lapan pasukan lain.

Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka merupakan penganjur bersama Sayembara Puisi Tari Antarabangsa 2024 yang berlangsung pada 9 November lalu, bertempat di Dewan Sultan Mizan UMT.

Gemala Rentak Buana UiTM Shah Alam terdiri daripada seorang pendaklamator, Akmal Hasif Mohd Sukri (Akademi Pengajian Islam Kontemporari) dan empat orang penari iaitu Wan Faiz Fahmi Wan Rosdi (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media), Mohammad Razlansyah Sabran (Fakulti Undang-undang), Aliff Amiril Adli Hisham (Fakulti Kejuruteraan Awam) dan Serenus Paul (Fakulti Kejuruteraan Mekanikal).

Pemilihan puisi berjudul “Bahtera Perpaduan”, Gemala Rentak Buana berjaya menjelmakan bait puisi tersebut melalui penguasaan pendeklamasian yang penuh penghayatan, diiringi koreografi tarian yang menggambarkan elemen pelayaran sebuah bahtera.

Alunan instrumental seruling yang digandingkan dengan gaya badan yang selari antara pendeklamator dengan penari memberikan nilai tambah kepada persembahan Gemala Rentak Buana.

Sebagai johan, pasukan Gemala Rentak Buana membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 berserta hadiah iringan. Naib johan disandang oleh Kumpulan Kesenian Persadatari UMT membawa pulang hadiah RM1,000, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Gapura Suria dari Sekolah Seni Malaysia Johor membawa pulang wang tunai bernilai RM700.

Anugerah sampingan, Bakat Harapan Terbaik, diberikan kepada pasukan Gala Sutera dari Penjara Kajang, manakala Anugerah Busana Terbaik diberikan kepada pasukan Adiratna Kuala Lumpur dan Anugerah Khas Juri diberikan kepada Kesenian Persadatari UMT.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain turut hadir bagi menyempurnakan Sayembara Puisi Tari Antarabangsa 2024.

Pentas sayembara ini turut membawakan penampilan khas deklamator dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura dan Rusia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi