Diterbitkan pada 12 November 2024, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertemakan #MyLibraryMoment, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) baru-baru ini telah menganjurkan pertandingan yang berjaya mengetengahkan peranan penting perpustakaan dalam kehidupan masyarakat.

Pertandingan anjuran Unit Model Pembangunan Suri yang berusaha merapatkan jurang antara komuniti dengan perpustakaan ini dilihat memberikan ruang dan peluang kepada para suri rumah dengan berkongsi pengalaman mereka di perpustakaan, tidak kira sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Sebanyak 34 orang peserta yang hadir,  membawakan pelbagai kisah yang menarik menggunakan kreativiti sendiri menerusi hantaran gambar dan juga video yang dimuat naik menerusi laman media sosial masing-masing. 

Kebanyakan pengalaman yang dikongsi oleh peserta, mereka mengatakan bahawa perpustakaan bukan sekadar tempat untuk membaca dan merehatkan minda, tetapi juga sebagai pusat interaksi sosial.

Pertandingan yang diadakan secara dalam talian itu turut mengetengahkan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan di seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Perak dan Terengganu.

Pemenang utama bagi Pertandingan #MyLibraryMoment bagi kategori gambar menjadi milik Nur Dayana Zakariah.

Nur Dayana berkongsi, Perpustakaan Awam Terengganu dan Perpustakaan Hipermedia MBSJ sering menjadi destinasi kegemarannya bersama-sama anak-anak menerusi hantaran di laman Facebook miliknya yang dikongsi bersama SSR.

Sementara itu, Fasihah Haji Abd Samad yang berjaya menambat hati juri menerusi hantaran video momen beliau bersama-sama anak-anak di Perpustakaan Awam Seri Iskandar berjaya meraih perhatian sebanyak 1.5 ribu tontonan dan 122 tanda suka.

Pengumuman bagi pemenang pertandingan ini telah dibuat menerusi media sosial SRR, hari ini.

Menurut wakil SRR, pertandingan #MyLibraryMoment ini bukan sahaja memberikan peluang kepada suri rumah untuk menyampaikan penghargaan mereka terhadap perpustakaan, tetapi juga berperanan dalam mempromosikan perpustakaan sebagai gedung ilmu yang menjadi nadi kepada proses pembelajaran sepanjang hayat bagi generasi masa kini dan akan datang.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi