Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (JPT-KPT) menyokong penuh usaha Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) dalam penganjuran program Perkampungan Budaya: Bahtera MADANI Gala Bitara K.A.T.A MADANI 2024 (PBMGBKM).
Demikian kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, berkaitan penganjuran PBMGBKM yang dilihat sebagai program “tandatangan” antara JPT dengan MAKUM. Jelasnya lagi,
Ini satu penghormatan yang cukup besar agar usaha dan komitmen yang diberikan bagi mengangkat kebudayaan dan kesenian bangsa Malaysia dihargai oleh semua pihak termasuk warga kampus,
Program ini adalah bukti pendidikan tinggi tidak hanya menekankan kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi turut melibatkan pembangunan sahsiah dan bakat pelajar dalam bidang kesenian.
Menurutnya, program BGBKM ini akan menjadi pelantar bagi mahasiswa menampilkan kreativiti dan bakat seni, serta mengeratkan perpaduan antara institusi pendidikan di seluruh negara, juga di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PBMGBKM yang berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2024 lalu, di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tambahnya lagi, usaha ini dilihat sejajar dengan penerapan konsep Malaysia MADANI yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, untuk memperkukuh identiti budaya kita dan memperlihatkan kekayaan warisan seni budaya kepada dunia.
UPSI sebagai penganjur utama program yang sinonim dengan aktiviti menggerakkan seni dan budaya dalam pelbagai peringkat telah memperlihatkan kesungguhan dalam memastikan martabat kesenian dan kebudayaan terus dijulang tinggi.
Bertemakan “Gemerlapan Batik” yang sinonim dengan Malaysia, KPT berharap agar generasi muda lebih menghargai kraf tradisional agar warisan ini “tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek zaman”.