Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTerengganu – Konsep teater imersif Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 kembali menghidupkan suasana malam kemerdekaan dengan pengalaman bersejarah buat para penonton.
Pementasan yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini berjaya mendapat sentuhan khas oleh Dr. Rosdeen Suboh selaku pengarah dan pelakon dalam pementasan yang berlangsung pada 21 September, lalu.
Berkonsepkan teater imersif (kontemporari), penonton turut ditarik menjadi sebahagian daripada naratif yang dibina secara kreatif bersama-sama pelakon untuk memberikan pengalaman dan semangat sewaktu menyambut detik kemerdekaan pada tahun 1957.

Peristiwa Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman (lakonan Tuan Haji Zukiferee Ibrahim) ketika menyampaikan watikah pemasyhuran kemerdekaan berserta laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali, dengan diikuti sorakan dan laungan daripada penonton merupakan sebuah pengalaman yang hanya mampu dirasai melalui garapan magis sebuah pementasan teater.
Antara program yang dilaksanakan semasa pementasan termasuklah segmen Ayam Laga Masuk Reban, deklamasi sajak dan pengisahan pemasyhuran kemerdekaan oleh pelajar Asasi UMT.

Pementasan ini turut menampilkan barisan pelakon teater tempatan seperti Dr. Rosdeen Suboh, Mohamad Arif Taslim, Encik Mohammad Zafran Hisham dan Abdul Halim bin Abdul Latip. Manakala, Normiha Suraya Ibrahim dan Intan Diyana Zainal Abidin menggalas tugas sebagai Pengurus Pentas.
Melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Teraju Seni Malaysia, pementasan ini turut mendapat sokongan daripada pelajar Asasi STEM UMT, Majlis Dekan Pengarah Asasi UA Malaysia, yang turut bersama-sama terlibat dalam membentuk naratif persembahan dengan jayanya.