Diterbitkan pada 24 September 2024, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Terengganu – Konsep teater imersif Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 kembali menghidupkan suasana malam kemerdekaan dengan pengalaman bersejarah buat para penonton.

Pementasan yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini berjaya mendapat sentuhan khas oleh Dr. Rosdeen Suboh selaku pengarah dan pelakon dalam pementasan yang berlangsung pada 21 September, lalu.

Berkonsepkan teater imersif (kontemporari), penonton turut ditarik menjadi sebahagian daripada naratif yang dibina secara kreatif bersama-sama pelakon untuk memberikan pengalaman dan semangat sewaktu menyambut detik kemerdekaan pada tahun 1957.

Satu daripada babak pementasan yang berjaya menangkap dan menyentuh hati penonton.

Peristiwa Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman (lakonan Tuan Haji Zukiferee Ibrahim) ketika menyampaikan watikah pemasyhuran kemerdekaan berserta laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali, dengan diikuti sorakan dan laungan daripada penonton merupakan sebuah pengalaman yang hanya mampu dirasai melalui garapan magis sebuah pementasan teater.

Antara program yang dilaksanakan semasa pementasan termasuklah segmen Ayam Laga Masuk Reban, deklamasi sajak dan pengisahan pemasyhuran kemerdekaan oleh pelajar Asasi UMT.

Teater Imersif Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 yang berlangsung pada 21 September, lalu bertempat di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pementasan ini turut menampilkan barisan pelakon teater tempatan seperti Dr. Rosdeen Suboh, Mohamad Arif Taslim, Encik Mohammad Zafran Hisham dan Abdul Halim bin Abdul Latip. Manakala, Normiha Suraya Ibrahim dan Intan Diyana Zainal Abidin menggalas tugas sebagai Pengurus Pentas.

Melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Teraju Seni Malaysia, pementasan ini turut mendapat sokongan daripada pelajar Asasi STEM UMT, Majlis Dekan Pengarah Asasi UA Malaysia, yang turut bersama-sama  terlibat dalam membentuk naratif persembahan dengan jayanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi