Diterbitkan pada 6 September 2024, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang menjuarai Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan ke-14 dengan menewaskan lapan pasukan lain pada pusingan akhir di IPG Kampus Ipoh, semalam.

Pertandingan forum yang bermula secara dalam talian dan secara bersemuka dari 12 Ogos hingga 5 September 2024 ini merupakan program kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan IPG Kampus Ipoh dan Kerajaan Negeri Perak.

Dengan forum bertemakan “Bahasa Melayu Dijulang Negaraku Terbilang”, IPG Kampus Rajang telah membuktikan kejayaan mereka apabila mereka dinobatkan sebagai johan. Manakala, naib johan menjadi milik IPGM Ipoh (B) dan tempat ketiga disandang oleh IPGM Perempuan Melayu Melaka.

Sementara itu, Linvern Paulus Sendys dari IPG Kampus Rajang telah berjaya merangkul anugerah Pengerusi Forum Terbaik bagi tahun ini, manakala Izmirhafirul Halimi dari IPGM Ipoh pula memenangi Panel Forum Terbaik.

Kedua-dua pemenang telah membawa pulang hadiah wang tunai, sijil penyertaan berserta hadiah iringan.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly Harun, turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah.

Yang turut hadir ialah Pengarah IPG Kampus Ipoh, Dr. Yusminah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan merupakan satu daripada inisiatif kerajaan negeri untuk memantapkan jati diri pelajar melalui pemerkasaan bahasa Melayu, selain bertujuan untuk menyediakan landasan kepada mahasiswa yang kompeten dan memiliki kemahiran berkomunikasi, berfikir dan interpersonal yang jitu pada abad ke-21.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi