Diterbitkan pada 26 Ogos 2024, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Acara santai Piknik Puisi yang dianjurkan di Taman Dr. Seenivasagam pada Sabtu lalu meraikan aneka cabang seni.

Piknik Puisi yang berlangsung ini merupakan acara santai baca dan kongsi puisi secara suka-suka sambil melepak dan berkelah. Selain daripada bacaan puisi, terdapat juga sesi bercerita, akustik, perbincangan buku dan zine serta banyak lagi.

Program ini dianjurkan secara kolektif antara Projek Rebel, Perpustakaan Laman, Kedai Buku Sebbuku dengan Pekan Culture.

Sebahagian daripada pengunjung yang hadir dari Kolej KTPM Ipoh.

Pengurus Acara, Afifah Gentayang berkata bahawa acara ini bertujuan untuk mengumpulkan peminat puisi di sekitar Ipoh.

“Antara lain tujuan acara ini diadakan adalah untuk bertukar-tukar karya dan memberikan pendedahan kepada peminat puisi yang suka menulis untuk mengekspresikan puisi mereka di khalayak ramai secara santai,” katanya ketika ditemui Tunas Cipta.

Reruai Perpustakaan laman turut disediakan bersempena dengan acara Piknik Puisi.

Menuruf Afifah lagi, program Piknik Puisi ini pada mulanya mahu dilakukan dalam skala persembahan dengan menggunakan pentas dan sebagainya. Jelasnya lagi,

Tetapi apabila difikirkan kembali, keberadaan pentas dengan menetapkan pemuisi yang akan membuat persembahan akan menimbulkan stage fright kepada pengunjung yang ingin mementaskan puisi mereka buat pertama kali. Lagipun, kami tidak ingin mengehadkan dan memilih sesiapa untuk membuat persembahan setakat ini. Acara ini lebih kepada program santai berkelah di dalam bulatan, sambil berkenal-kenalan, bertukar pandangan dan terbuka kepada sesiapa yang ingin berkongsi puisi.

Idea ini tercetus daripada setiap acara bacaan puisi atau bengkel puisi yang pernah Afifah sertai. Katanya lagi,

Terdapat banyak pengunjung yang sangat minat untuk menulis puisi dan ingin berkongsi, namun tidak ada peluang kerana malu, berasa diri tidak layak dan takut karya mereka tidak bernilai atau berharga.

Tambah Afifah, dengan acara secara santai seperti ini, mereka dapat memberikan peluang kepada semua pengunjung untuk bertukar-tukar karya masing-masing supaya dapat memberikan pendedahan kepada pengkarya baharu.

Syafinaz tampil membaca puisi dari zine Satu Hari Bahagi Seribu tulisan Sue Emoqwin.

Pertandingan puisi juga turut diadakan pada hari tersebut dan membuka penyertaan zine bagi membuat siri antologi.

Afifah turut menambah penganjur mengehadkan pengunjung dalam bilangan sebanyak 50 orang sahaja kerana ingin mengekalkan keintiman acara ini.

Konsep keintiman acara ini diharapkan dapat memecahkan tembok insecurities, setiap pengkarya terhadap kebolehan diri dan karyanya. Dan semoga setiap daripada pengkarya terus termotivasi untuk berkarya dan mula menonjolkan diri bagi meraikan setiap perbezaan dalam karya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi