Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCheras – Program Pertandingan Mewarna dan Deklamasi Sajak anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Wilayah Persekutuan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Acara yang berlangsung di Dewan Yayasan Bena Nusa berjaya menarik minat lebih daripada 50 orang pelajar prasekolah dari 14 KEMAS negeri di Kuala Lumpur.
Para peserta menzahirkan kreativiti melalui lukisan yang bertemakan kemerdekaan dan cinta akan tanah air.

Pelbagai warna dan teknik mewarna telah dipersembahkan dalam lukisan bagi menggambarkan kekayaan budaya dan warisan negara dalam menyambut kemerdekaan.
Selain itu, pertandingan deklamasi sajak juga mendapat sambutan hangat dengan penyertaan guru dari tabika KEMAS. Sajak-sajak yang dipersembahkan berkisar tentang semangat perjuangan dan pengorbanan para pahlawan negara.

Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah oleh Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP dan Encik Azlan Mohamed, Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Wilayah Persekutuan.
Bagi pertandingan mewarna, johannya ialah Abdullah Hafizuddin Jamaliadi dari Tabika KEMAS Desa Pandan 3, tempat kedua pula telah dimenangi oleh Hawa Maisarah Myazmi dari Tabika KEMAS Desa Pandan 2 manakala tempat ketiga pula dimiliki oleh Sheikh Airel Zafrel Sheikh Nasir dari Tabika Kemas Desa Pandan 2.
Bagi pertandingan deklamasi sajak pula, johannya ialah Puan Siti Fairouze Norzahid dari Tabika KEMAS Desa Tun Hussein Onn Setiawangsa, tempat kedua telah dimenangi oleh Puan Zarina Mohamad dari Tabika KEMAS Wangsa Sari Wangsa Maju manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Puan Nur Mazedah Jamaluddin dari Tabika KEMAS Kondominium Rakyat Desa Pantai Lembah Pantai.
Juara bagi setiap pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150, buku cerita dan sijil penghargaan.