Diterbitkan pada 13 Ogos 2024, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Bank buku yang disediakan di setiap Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri merupakan antara inisiatif untuk menambahkan bilangan buku bagi agihan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara. Manakala, sebanyak 16 buah sekolah SJKT di Kedah telah dipilih bagi menerima sumbangan ini.

Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami ketika menyampaikan Ucapan Aluan-aluan bersempena dengan Program Dariku Untukmu dan Majlis Sumbangan Buku kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Kedah yang berlangsung pada 11 Ogos 2024.

Dalam ucapannya, beliau menggalakkan orang ramai untuk turut menyumbang buku yang tidak digunakan dan masih dalam keadaan baik kepada bank buku yang ada disediakan di setiap Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri. Kongsinya,

Program pertama agihan buku di Lembah Klang ini telah dilaksanakan pada 17 Julai lalu dan turut membabitkan sebanyak lapan SJKT dari Selangor dan tiga dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami berkongsi bahawa sebaik sahaja tamat program itu, beliau menerima banyak panggilan daripada pelbagai pihak untuk menyumbangkan khazanah koleksi buku yang sangat bernilai kerana kebanyakan koleksi buku tersebut sudah tidak lagi boleh didapati dalam pasaran.

Inisiatif ini dilaksanakan bukan sahaja hingga hujung Ogos tahun ini, tetapi juga diharapkan agar program ini akan berterusan dalam usaha menyemarakkan budaya membaca.

Program anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melalui kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia Negeri Kedah, Persatuan Penulis Tamil Iyal Malaysia dan Digital Association of Women in Malaysia di Kedah Digital Library dianjurkan bertujuan untuk menyuburkan budaya membaca yang dilihat sebagai satu daripada nilai berterusan sepanjang hayat tanpa mengenal had usia dalam menuntut ilmu.

Tetamu kehormat yang turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakan Awam Kedah, YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad dan Ketua Pengarah PNM, YBrs. Puan Salasiah Abd. Wahab.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi