Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Ibu bapa diseru untuk memupuk minat membaca anak masing-masing dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu.
Hal ini dinyatakan oleh YB Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, YB Mohd Najwan Halimi ketika menyampaikan Ucapan Perasmian Pesta Buku Kanak-kanak Selangor 2024 di Kompleks PKNS baru-baru ini.
Tambah beliau, ibu bapa pada zaman ini mempunyai cabaran yang lebih besar dalam usaha menggalakkan anak mereka untuk membaca berbanding pada zaman dahulu. Ujarnya,
Anak-anak kini cenderung terdedah dengan gajet serta media sosial seperti TikTok dan YouTube. Akhirnya, pendedahan yang tidak sihat ini menjadikan kebanyakan bahan bacaan di rumah sebagai hiasan sahaja. Sedangkan, membaca akan membentuk imaginasi yang kuat dan pemikiran kritis buat kanak-kanak.
Tambahnya lagi, Selangor merupakan antara negeri peneraju dalam pembangunan industri buku dan tidak hanya bertumpu kepada perpustakaan semata-mata. Sebaliknya, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif dengan menerbitkan pelbagai buku terjemahan melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa terdapat sebanyak 135 reruai disediakan dan 100 pempamer yang mengambil bahagian dalam pesta buku berkenaan.
Pelbagai pengisian menarik termasuk program yang mengetengahkan bakat ilustrator muda melalui kolaborasi dengan ilustrator tanah air untuk merancakkan lagi industri buku kanak-kanak.
Semasa majlis perasmian tersebut, PPAS turut melancarkan perkhidmatan perpustakaan bergerak, BA.CA Basikal Buku bagi meluaskan capaian perkhidmatannya.
Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2024 anjuran PPAS yang berlangsung selama lima hari bermula dari 24 hingga 28 Julai itu turut menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik selain menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM50 000.
Bersempena dengan Pesta Buku Kanak-kanak Selangor 2024, pelbagai pertandingan turut diadakan, antaranya termasuklah dendangan syair dan pertunjukan proses kreatif penghasilan watak kartun ikonik Malaysia bagi peminat kartun dan siri animasi.
Antara kartunis dan ilustrator yang mengambil bahagian termasuklah Tunku Yusrina Tunku Nazrin, Imuda dan Shamsaimun Ezil atau lebih mesra dikenali sebagai Along Sam yang sinonim dengan watak Keluang Man.