Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Kandungan Filem anjuran Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem (FPKP) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berlangsung pada 20 Julai 2024 dengan mengangkat isu perihal Filem: Skrip, Skrip dan Skrip melalui tiga sesi utama bersama-sama barisan ahli panel yang bergiat aktif dalam industri perfileman negara.
Dalam sesi kedua Forum Kandungan Filem Sinema Kita, Citra Kita: Dari Pesprektif Idea dan Cerita, barisan panel yang dibawa pada kali ini antaranya termasuklah June Tan, Ilmillya Roslan (VIU) dan Dato’ Saniboey Mohd Ismail untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dan pendapat mereka berkenaan identiti dan wajah filem Malaysia.
Penerbit dan penulis lakon layar tanah air, Dato’ Saniboey turut menyentuh isu berkaitan tanggungjawab pembikin filem dalam mendidik masyarakat melalui sesi kedua ini. Kongsingnya,
Mengapa mahu diletakkan tanggungjawab itu di bahu pembikin filem? Pembikin bebas membikin apa sahaja filem yang mereka mahu. Penonton yang seharusnya menilai sama ada filem yang ditonton itu memberikan didikan atau tidak buat mereka.
Tambahnya lagi, slogan “Filem Kita, Wajah Kita” merupakan slogan yang sudah arkaik. Filem tidak bertanggungjawab mewajahkan identiti negara kerana institusi tertinggi negara sendiri sudah tidak mewakili wajah Malaysia, mengapa beban itu diletakkan pada bahu pembikin filem? Tugas penonton untuk menilai sama ada filem yang dihidangkan itu cukup baik atau tidak buat mereka.
June Tan (penulis lakon layar), dalam sesi yang sama turut menjelaskan definisi kata “kita” ini sangat meluas maknanya. Jelasnya,
Cerita (filem) dalam konteks berbilang kaum (Malaysia) merupakan sebuah realiti yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari yang berlaku kepada saya, anda, dia dan mereka. Realiti inilah yang menjadikan ia sebagai ‘kita’.
Kehadiran ketiga-tiga panel melalui sesi Forum Sinema Kita, Citra Kita ini secara tidak langsung banyak membuka mata karyawan filem yang turut hadir bersama-sama menghayati perjalanan industri perfileman Malaysia yang dilihat sedikit sebanyak sudah mula ada perubahan progresif melalui beberapa kehadiran penulis lakon layar, pengarah dan penerbit muda.
Program yang merupakan sesi perkongsian pengalaman dan ilmu oleh penggiat filem tanah air ini turut menampilkan Ghaz Abu Bakar, Saw Teong Hin, Maizura Ederis melalui forum Skrip, Skrip dan Skrip: Formula dan Petua bagi sesi pertama dan forum Gadis Kretek: Cerita dan Produksi oleh Ifa Isfansyah dan Kamila Andini yang menekankan isu berkaitan realiti dunia filem tanah air dalam aspek pembangunan kandungan dan produksi bagi sesi yang kedua.