Diterbitkan pada 5 Julai 2024, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kedah  –  Sebanyak 50 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 dari seluruh Negeri Kedah telah terpilih bagi menyertai Kem Daei Pena Muda Kementerian Pendidikan Malaysia di Peringkat Negeri Kedah bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, Kedah.

Sanusi Din atau lebih mesra dikenali sebagai Ibnu Din Assingkiri yang merupakan Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) telah dijemput khas untuk membicarakan berkenaan penulisan cerpen remaja kepada peserta. Kongsinya,

Untuk menulis sebuah cerpen, ia memerlukan minat dan juga bakat. Sebuah cerpen yang baik, terhasil daripada pemahaman yang mendalam daripada seorang penulis agar cerpen yang dihasilkan itu menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh editor.

Tambahnya lagi,

Ramai penulis-penulis muda yang menghantar karya berupa cerpen untuk disiarkan dalam akhbar dan juga majalah. Untuk pelajar sekolah menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada menerbitkan majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa yang sesuai bagi tujuan penghantaran karya berupa cerpen dan juga puisi. Setiap cerpen dan puisi yang disiarkan, ada sagu hati atau honorarium.

Majlis perasmian Kem Daei Pena Muda itu telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Haji Zulkifli Ghozali dengan anjuran Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Cerpen yang dihasilkan oleh peserta akan dipilih dan ditapis  untuk mewakili Kedah bagi pertandingan menulis cerpen peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Negeri Kelantan Darul Naim pada tahun ini.

Melalui bengkel ini peserta akan didedahkan dengan cara dan teknik untuk menulis cerpen yang baik dalam melahirkan penulis muda yang berbakat besar dalam bidang penulisan cerpen.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi