Diterbitkan pada 4 Julai 2024, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perang Larut yang berlaku pada era 1816 hingga 1861 di Perak menjadi fokus utama Fatin K. Elysya menulis novel sulungnya bagi keperluan projek akhir pengajian Diploma Penulisan Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Fatin yang dari awal memang sudah berminat dengan sejarah dan mula membuat draf awal pembentangan projek penghasilan novel itu berkata bahawa beliau memerlukan masa yang cukup lama bagi kajian Perang Larut, tetapi untuk menyiapkan manuskrip novel Larut di Metaverse itu, beliau hanya memerlukan dua bulan sahaja.

“Saya memang minat sejarah dan minat membuat kajian. Bila saya buat kajian, banyak benda yang saya tak tahu, saya jadi tahu. Bila saya buat kajian untuk menghasilkan Larut di Metaverse ini, serba-sedikit banyak ilmu yang sebelum ini orang tak kisah, akan diambil maklum,” katanya dalam program Baca PeTA yang berlangsung di Pusat Penyiaran ASWARA baru-baru ini.

Beliau yang juga berasal dari Perak itu mengunjungi dan melakukan kajian di muzium-muzium di Perak dan tempat-tempat berlakunya Perang Larut bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan. Beliau juga pergi sendiri berjumpa dengan kurator muzium-muzium yang terlibat untuk mendapatkan lagi informasi tambahan berkenaan Perang Larut.

Pendekatan novel fiksyen sejarah yang dihasilkan oleh Fatin ini bagi mengelakkan dirinya menulis novel klise bagi tujuan projek akhir tersebut. Bagi Fatin, gabungan antara teknologi virtual reality (VR) dengan augmented (AR) menjadi tarikan utama novel tersebut selain kisah bagaimana sejarah pergaduhan antara puak Ghee Hin dengan Hai San berlaku.

“Tapi dalam menyiapkan kertas cadangan bagi penghasilan novel tersebut, saya memang fikirkan karya apa yang memang pelajar jarang hasilkan, tetapi memberikan impak yang besar kepada pembaca, bukan sahaja bagi keperluan pengajian dan dalam ASWARA, tapi bagi pembaca-pembaca lain juga. Saya fikir tema sejarah boleh pergi jauh, sebab sejarah memang benar-benar terjadi. Cuma saya nak fiksyenkan sejarah itu untuk menjadikannya seronok dibaca,” ujarnya.

Penghasilan novel ini diselia oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang menjadi tunjang utama bagi Fatin untuk mengembangkan watak, latar dan situasi-situasi yang terdapat dalam novel tersebut. Bagi Fatin, beliau sangat bersyukur kerana memperoleh penyelia yang begitu komited dalam mencurahkan idea bagi menyiapkan novel ini. Dalam pada itu, Larut di Metaverse ini juga disuguhkan oleh SN Dato’ Dr. Anwar untuk dijadikan judul.

“Ketika penulis lain seakan-akan mengabaikan teknologi masa kini dalam penceritaan, Fatin Elysha mencurahkan kisah, watak dan tafsiran sejarah untuk larut dalam metaverse. Melalui teknik versi 3D projek metaverse watak utamanya, para pengikutnya dan orang ramai kelak boleh berinteraksi bukan sahaja sesama mereka, malahan dengan watak-watak sejarah Perang Larut yang menjelma sebagai watak-watak avatar,” kata SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam prakata novel tersebut.

Usai sahaja pembentangan viva voce pada tahun lalu bagi keperluan akademik, Larut di Metaverse ini terus “dilamar” oleh Rumah Kertas, sebuah imprint daripada Nusa Centre bagi menerbitkan manuskrip ini.

Novel ini mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 lalu dan tersenarai dalam carta buku paling popular di reruai mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi