Diterbitkan pada 28 Mei 2024, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 ke-41 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memasuki hari kelima hari ini. Pelbagai acara disajikan pada sesi pagi dan petang di dewan pameran jualan buku dan aktiviti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertempat di Dewan Tun Hussein Onn.

Antara program yang berlangsung pada hari ini termasuklah majlis pelancaran buku Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, Permainan Kata Siri Ayuh, Belajar Bahasa Arab! pada sebelah pagi. Manakala, tiga program yang dianjurkan pada sebelah pula ialah Proses Kreatif Buku Seni Kimia: Apakah Jirim? dan The Art of Chemistry: What Is Matter?.

Sementara itu, turut diadakan Majlis Pelancaran Bahan Sokongan Digital Pendidikan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh dan acara kemuncak pada hari ini menyaksikan program Anjung Sasterawan yang menampilkan Hasyuda Abadi, Sasterawan Negeri Sabah Ketiga.

Hasyuda Abadi sedang berkongsi pengalaman beliau dalam dunia kesusasteraan yang diceburinya sejak sekian lama.

Program berdurasi selama satu jam itu menggamit perhatian para pengunjung dengan kehadiran Hasyuda Abadi, Sasterawan Negeri Sabah Ketiga atau nama sebenar beliau Haji Sukor bin Haji Usin. Puan Rabiatul Adawiyah Md Saleh bertindak mengemudi acara sebagai moderator majlis, serta penampilan khas Dr. Mohammad Saleeh Rahamad selaku pembicara dan diserikan oleh persembahan nyanyian lagu puisi oleh Puan Maslinah Yusof.

Program berbentuk diskusi atau soal jawab secara santai ini bermula dengan pengenalan latar belakang Hasyuda Abadi yang mula menceburkan diri bidang persuratan, sebagai penari, seterusnya menjadikan puisi sebagai bidang kepakaran beliau sehingga dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1985.

Sebuah karya milik Hasyuda Abadi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau turut menyentuh mengenai karya beliau berjudul Melawan Kebiasaan yang menghimpunkan koleksi puisi beliau buat tatapan masyarakat umum dengan melakukan sesuatu di luar kelaziman seperti yang dilakukan oleh golongan muda pada masa kini. Tambah beliau, koleksi puisi yang dinukilkan oleh beliau itu bertitik tolak daripada  pelbagai pengalaman, aduan yang diterima, pemerhatian beliau yang pernah bekerja di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, selain pernah menceburi bidang politik dan mencerap masalah tertentu yang melanda di Sabah.

“Saya tidak pernah berhenti menulis puisi dalam tempoh empat dekad. Akhirnya kini saya dapat menghasilkan lebih kurang 1000 puisi dalam bentuk dokumentasi. Sebagai seorang penyair, puisi merupakan kegemaran dan kepakaran saya. Walaupun saya sedia maklum bahawa penggemar untuk puisi ini tidaklah seramai penggemar cerpen,” jelas beliau dalam diskusi tersebut.

Profesor Madya di Jabatan Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Saleeh Rahamad pula menyifatkan karya Hasyuda Abadi dalam Melawan Kebiasaan terkandung falsafah yang mendalam. Hal tersebut merupakan sesuatu yang mungkin tidak dapat dicerna dengan mudah oleh golongan awam kerana mengandungi elemen sastera seperti metafora untuk memahami makna yang ingin disampaikan.

Hasyuda Abadi yang telah menghasilkan lebih 1000 puisi dan 45 buah cerpen turut berkongsi teknik kepada pengunjung yang hadir untuk terus kekal dalam penulisan dengan kerap menulis. Tambahnya, pada masa ini beliau agak kurang menumpukan perhatian kepada aktiviti menulis kerana lebih memberikan peluang kepada penulis untuk menyiarkan karya mereka dengan menganjurkan aktiviti seperti sayembara puisi dengan memilih lima puisi terbaik yang akan disiarkan di laman Facebook peribadinya.

Selain itu, beliau juga turut terlibat dalam Peraduan Menulis Puisi Peringkat ASEAN yang pada ketika ini sedang dalam proses penghakiman. Tambahnya, penulis juga perlu untuk menerima kritikan kerana pandangan orang lain mampu meningkatkan prestasi masing-masing agar dapat memperbaiki diri.

Dalam program tersebut, Dr. Mohammad Saleeh Rahamad juga berpandangan bahawa penulis muda dan veteran perlu bersama-sama berganding bahu agar dapat saling memahami, bukannya saling menjatuhkan antara satu sama lain dengan mengambil contoh negara jiran di Indonesia.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi