Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kelab Penerbitan Kreatif Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Kebudayaan USIM melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) akan menganjurkan Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2024 buat julung kalinya pada 24 hingga 26 Mei ini di Dewan Kuliah Pusat 4, kampus USIM.
Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohamad Akmal Razali berkata bahawa objektif penganjuran SePENA ini adalah untuk menanam minat generasi MADANI agar lebih mencintai bahasa Melayu dan sastera kreatif bukan sahaja kepada pelajar tempatan tetapi juga pelajar antarabangsa.
Tambahnya, penganjuran program ini juga sebagai satu daripada usaha membantu Gagasan MADANI bagi memperkasakan bahasa Melayu terutamanya dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Sambutan SePENA dilihat begitu menggalakkan dengan penerimaan sebanyak 20 orang peserta bagi pelajar tempatan dan lima orang peserta bagi kategori antarabangsa,” kongsinya ketika menjadi tetamu dalam temu bual bersama-sama BERNAMA Radio baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif merangkap Pengarah SePENA 2024, Najmi Adli Mustaffa berkata bahawa proses digitalisasi yang berlaku pada masa ini akan memberikan peluang kepada generasi MADANI untuk menterjemahkan segala bentuk perasaan dan program seperti ini diharapkan akan menjadi program dwitahunan dalam terus menyemarakkan puisi sebagai ekspresi generasi MADANI.
Majlis penutup SePENA ini akan disempurnakan oleh Sasterawan Negara ke-15, YBhg. Dato’ Rahman Shaari.