4 Mac 2023, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Nur Fatina Muhammad penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021, Kategori Cerpen Eceran terbitan Tunas Cipta, DBP Jun 2020.

Kota KinabaluDaripada lapan kategori bawah Hadiah Sastera Sabah 2020/2021, Nur Fatina Muhammad merupakan antara penulis muda yang menerima pengiktirafan ini melalui kategori cerpen eceran dengan karya berjudul “Kedai Buku di Negara Antah Ber-Entah” terbitan Tunas Cipta, Jun 2020. Apabila ditanya, apakah kriteria atau kualiti yang dimiliki dalam karyanya sehingga diberikan pengiktirafan sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021, Nur Fatina berkongsi:

Cerpen ‘Kedai Buku di Negara Antah Ber-Entah’ ini agak sukar untuk difahami oleh sesetengah pihak. Namun, mungkin kerana isu yang berkenaan perbukuan negara yang menggunakan latar futuristik dan elemen imaginasi rakyat melayakkan karya ini mendapat tempat di hati juri dan pembaca.

Malam Anugerah Pena Kinabalu (APK) telah melabuhkan tirainya malam semalam yang diadakan di Grand Ballroom, Hotel Shangri-La Tanjung Aru. APK telah menggabungkan tiga program pengiktirafan tertinggi yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai penghargaan kepada sasterawan terpilih dan penulis yang menghasilkan karya bermutu tinggi. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, iaitu YBhg. Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin. Turut hadir,  Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, YBhg. Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Setiausaha Persekutuan Sabah, YBhg. Dato’ Makhzan Mahyuddin.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Dr. Hazami Jahari semasa ucapan kata alu-aluan di Majlis Malam Anugerah Pena Kinabalu malam semalam.

Tiga pengiktirafan tertinggi ini merangkumi, Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS), Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah dan Hadiah Sastera Sabah. Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 terbahagi kepada lapan kategori utama, iaitu Kategori Puisi Eceran, Cerpen Eceran, Kumpulan Puisi, Kumpulan Cerpen, Drama Pentas, Separa Ilmiah, Novel Dewasa, Novel Remaja dan Novel Kanak-kanak.

Kualiti cerpen yang ditukangi oleh Nur Fatina membuktikan kemampuannya sebagai bakat muda yang bakal menghiasi dunia sastera tanah air pada masa akan datang. Menurutnya, kemenangan ini merupakan impiannya sejak kecil dan berasa usahanya tidak sia-sia selama melawan arus normalisasi anak muda negara yang dilihat wajib mengambil jurusan profesional berbanding dengan penulisan.

Tambahnya, sewaktu ditanya tentang nasihat dan harapan beliau kepada penulis muda dan pemula yang ingin berkarya dan terus menghasilkan penulisan berkualiti, Nur Fatina menjawab:

Penulis muda mahupun yang mapan sentiasa harus mencuba keluar daripada kepompong selesa mereka untuk mencari gaya dan rentak mereka sebagai seorang penulis. Untuk menghasilkan karya berkualiti, keberanian itu harus ada.

Pengiktirafan cerpen “Kedai Buku di Negara Antah Ber-Entah”, karya Nur Fatina Muhammad ini melayakkan beliau menerima sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM1000. Kemenangan ini membuktikan kemampuan majalah Tunas Cipta dalam mengetengahkan bakat muda untuk terus bersaing seiring dengan penulis mapan dalam liga sastera tanah air pada masa ini dan masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.