Oleh Suria Janib
15 Februari 2023, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Terinspirasi daripada keluarga seni yang datangnya dari sebelah ayahnya, Allahyarham ayahnya seorang guru yang mengajar Bahasa, Matematik dan Muzik di sekolah serta pemain muzik di Muar, Johor. Begitu juga, ibunya juga seorang guru yang mengajar Sains di sekolah.

Dr. Shafa’atussara Silahudin mendapat pengiktirafan sebagai Biduan Syair ASEAN 2022 daripada komuniti syair ASEAN.

Hal ini mendorong Dr. Shafa’atussara Silahudin beralih minat daripada mengikuti bidang sains (biokesihatan) ke arah bidang sastera dan seni persembahan (vokal). Beliau yang juga pensyarah kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya ketika diwawancara oleh Bernama TV mengakui peralihan bidang tersebut tidaklah berubah sepenuhnya kerana semasa menyambung pengajian sarjananya dalam bidang sains serta bertugas sebagai pembantu penyelidikan perubatan, beliau turut membabitkan diri dalam seni persembahan.

Jelasnya,

Minat saya begitu mendalam terhadap bidang sastera dan seni persembahan, kerana sudah terdedah dengan kumpulan muzik sejak kecil lagi. Selain terinspirasi daripada ayah saya, seni vokal lahir daripada bakat datuk dan nenek saya yang juga seorang qari dan qariah tilawah al-Quran.

Beliau juga mengambil pengajian dalam bidang seni persembahan bagi mengembangkan minatnya. Dengan “sedikit” bakat seni suara yang ada itu, Dr. Shafa’atussara memasuki pertandingan yang ketika itu beliau belum menamatkan pengajiannya. Pada tahun pertama pengajian, beliau menyertai pertandingan Bintang Asli Remaja 2002 pada peringkat negeri Johor, mewakili peringkat daerah Muar. Di situlah beliau bertemu dengan pelbagai tokoh seniman dan bakat muda serta nama beliau sama-sama meningkat dengan Zarina Zainudin, Haziq dan beberapa nama lagi yang sekarang mereka sudah melebarkan sayapnya dalam industri muzik.

Wawancara oleh pengacara Bernama TV.

Pada peringkat tertinggi, Dr. Shafa’atussara pernah menyertai Pertandingan Nyanyian Dendang Syair Antarabangsa sejak tahun 2012. Pada tahun 2019 (penyertaan kali kedua), beliau berjaya merangkul juara pertandingan tersebut. Semasa melanjutkan pengajiannya pada peringkat doktor falsafah di Belanda, beliau mendapat pengiktirafan sebagai Biduan Syair ASEAN 2022 daripada komuniti syair ASEAN sebagai sokongan terhadap individu yang berkecimpung dalam dunia syair secara serius dan mempunyai pendekatan tertentu untuk menaikkan dunia syair ini.

Katanya,

Saya bukan sahaja berminat menyertai bidang seni persembahan, malahan saya membuat kajian lapangan di Pahang, terutama di kawasan kampung, kebanyakan komunitinya sangat meminati muzik. Dahulu, Pahang terkenal sebagai tempat kelahiran penglipulara, tetapi kini hampir tiada lagi.

Hasil kajiannya, beliau mendapati masyarakat Malaysia meminati pelbagai jenis muzik. Namun demikian, kecenderungan pada seni muzik ada batasannya kerana masyarakat negara ini masih lagi memegang nilai-nilai ketimuran.

Sekembalinya beliau dari Belanda, pelbagai pihak menyarankan beliau untuk menghasilkan beberapa siri video yang dapat dilayari menerusi saluran YouTube tentang kepenyairan supaya menjadi panduan dan rujukan kepada generasi  muda. Pelbagai agensi termasuk individu dan kerajaan banyak membantu dan menyokong usaha murni yang diusahakan oleh beliau.

Secara peribadi sebagai komuniti kelompok penyair, beliau berpandangan bahawa puisi tradisional ini akan terus berkembang jika adanya sokongan dan dukungan daripada pelbagai pihak. Katanya lagi,

Syair bukan milik individu atau milik orang Melayu sahaja, tetapi dalam konteks negara yang mempunyai pelbagai bangsa, syair ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.