3 Januari 2023, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor – Duta Mahasiswa Johor, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor telah menganjurkan Bengkel Penulisan Syair yang berlangsung menerusi platform Google Meet. Bengkel ini merupakan susulan daripada Bengkel Penulisan Gurindam dan Bengkel Swaterbit yang diadakan pada 18 hingga 20 Oktober 2022.

Bengkel susulan ini menampilkan Munsyi Dewan (Sastera) dan penggiat puisi Melayu moden dan tradisional yang terkenal dengan gelaran Penyair Ujung Selatan Benua Asia, iaitu Tuan Haji Mohd Rosli Bakir sebagai pembimbing. Bengkel ini mendapat penyertaan daripada 60 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, mahasiswa, guru dan orang awam dari dalam dan luar negara.

Menerusi bengkel ini, Tuan Haji Mohd Rosli Bakir telah berkongsi maklumat berkenaan dengan format penulisan syair yang terdiri daripada lima rangkap dengan empat baris, dan diakhiri rima yang sama [a-a-a-a] dengan jumlah perkataan antara lapan hingga 12 suku kata. Peserta diberi tempoh selama tiga minggu, iaitu bermula pada 31 Disember 2022 hingga 21 Januari 2023 untuk menyiapkan karya syair yang bertemakan “Nasihat” untuk dihantar kepada pihak penganjur.

Karya syair tersebut harus menepati kriteria seperti yang ditetapkan oleh penganjur. Hal ini disebabkan setiap karya yang dihimpunkan akan diterbitkan dalam buku antologi syair yang bakal diterbitkan pada pertengahan bulan April 2023.

Di samping itu, setiap peserta yang menyertai bengkel ini akan diberikan sijil digital selepas mereka menghantar karya. Sehubungan dengan itu, pihak penganjur berbesar hati menjemput para peserta dan orang ramai yang terlepas menyertai Bengkel Penulisan Syair tersebut untuk merebut peluang ini dengan menghantar karya syair masing-masing.

Sesiapa yang berminat untuk menerbitkan syair boleh menghubungi Pengurus Program Syair, iaitu Nurul Fatihah Najwa Nor Hamizan melalui talian 019-8695334, Pengarah Projek, iaitu Nur Fitri Osman melalui talian 018-2231521 atau Penyelia Projek, iaitu Norhaida Ahmad melalui talian 011-21116817 untuk mendapatkan maklumat mengenai pendaftaran penyertaan dan format penghantaran karya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.