31 Mei 2022, 08:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mengambil kisah rakyat tempatan seperti kisah Hang Nadim sehinggakan menyentuh mitologi Greek dan Yunani, doktor perubatan yang juga merupakan penulis, Dr. Fahd Razy kini hadir memberikan penjenamaan semula terhadap karya kumpulan cerpen beliau, Pascasejarah ke dalam bentuk novel dan juga ke dalam versi bahasa Inggeris, Aftertime.

“Format yang saya gunakan dalam Pascasejarah ini adalah ia boleh berfungsi sebagai cerpen dan dalam pada masa yang sama, ia boleh berfungsi sebagai novel. Hasil penulisan saya merupakan inspirasi daripada novel Naratif Ogonshoto, oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan,” ujarnya.

Turut menggunakan watak mitologi bangsa dan negara lain, karya ini datang dengan 12 bab secara keseluruhan. Setiap bab dalam novel ini boleh berdiri sendiri serta diletakkan pasca skrip bagi menerangkan mitologi yang wujud dalam karya tersebut.

“Idea awal adalah untuk menggambarkan suasana satu cerita masyarakat membangun dan bangkit semula untuk membina tamadun mereka sehinggakan tamadun itu jatuh. Dan saya fikir cara terbaik untuk saya gambarkan semua itu adalah dengan mengambil segmen daripada peristiwa penting dalam setiap generasi tamadun tersebut,” kata beliau.

Menurut peminat buku tempatan, Amalina mengatakan bahawa walaupun pada awal pembacaan agak mengelirukan, akhirnya dia belajar untuk faham bahawa setiap buku tidak boleh dibaca dengan cara yang sama.

Mengulas dengan lebih lanjut, Amalina berkata, “Setiap penulis menulis dengan cara yang berbeza. Jadi, sekiranya kita membaca kesemua buku dengan menggunakan satu pendekatan sahaja, maka kita tidak akan dapat menghayati sepenuhnya buku tersebut, terutamanya buku Pascasejarah.”

Secara jujurnya, Amalina akui bahawa emosi beliau ada tersentuh apabila apabila membaca kisah dalam bab empat Pascasejarah apabila terdapat pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk mengharamkan pembelajaran serta menghukum tenaga pengajar.

“Saya tidak pasti sama ada Dr. Fadh memang berniat untuk menulis begini, tetapi yang membuatkan bab itu terkesan adalah pada pengakhiran bab itu, iaitu apabila watak kanak-kanak dalam cerita tersebut mati kelaparan kerana menggunakan makanan yang sepatutnya dia makan untuk mengajar dan menyampaikan ilmu,” sambungnya lagi.

Berbicara mengenai kerja terjemahan, penterjemah yang juga merupakan sahabat karib penulis, Dr. Adibah Abdullah mengatakan bahawa Pascasejarah merupakan sebuah novel yang bagus dengan anugerah yang dimenanginya dan berjaya mendekati khalayak pembaca yang luar biasa di Malaysia.

“Fadh Razy mempunyai cita-cita besar untuk Pascasejarah. Beliau berhasrat agar buku tersebut dapat menambat hati khalayak pembaca sehingga peringkat antarabangsa. Bagi mencapai hasrat itu, novel ini perlu diterjemahka,” kata beliau.

Terlibat dalam bidang penterjemahan melalui buku The Blind Seer, iaitu kisah tentang orang buta, Adibah akui bahawa peranan beliau bukan sekadar menterjemah penulisan semata-mata, tetapi juga termasuk menerapkan emosi yang hadir dalam setiap cerita,” akhiri beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.