Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keseimbangan antara tradisi dan inovasi merupakan kunci utama dalam memastikan penerbitan buku kanak-kanak terus relevan merentas generasi, sekali gus mampu melahirkan pembaca baharu dalam landskap industri yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Perkara tersebut diketengahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gallimard Jeunesse, Hedwige Pasquet, dalam sesi bertajuk Sustaining a Legacy: Half a Century of Children’s Publishing pada The 35th International Publishers Congress (IPC 2026) yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur semalam.

Kongres berkenaan diadakan dari 5 hingga 9 Julai 2026 hasil anjuran International Publishers Association (IPA) dengan kerjasama Malaysian Book Publishers Association (MABOPA).

Sesi yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grupo Girassol Brasil, Karine Pansa, menelusuri perjalanan hampir lima dekad Gallimard Jeunesse sebagai antara penerbit buku kanak-kanak paling berpengaruh di dunia serta cabaran mengekalkan identiti editorial dalam era perubahan pesat.

Menurut Pasquet, sejak penubuhannya, Gallimard Jeunesse berpegang teguh pada tiga nilai utama, iaitu kualiti dan kecemerlangan kandungan, penghargaan terhadap nilai estetika, serta kreativiti dan inovasi dalam penerbitan.

Beliau berkata, penerbitan berkualiti perlu mengimbangi karya penulis dan ilustrator terkenal dalam katalog sedia ada dengan bakat baharu yang memahami realiti dunia kontemporari.

“Ilustrasi merupakan pintu masuk pertama kanak-kanak kepada sesebuah buku. Ilustrasi yang indah akan menarik minat mereka membaca dan mampu meninggalkan kesan kepada kanak-kanak tersebut sepanjang hayat,” katanya.

Tambah beliau, inovasi bukan sekadar melibatkan kandungan, malah merangkumi format penerbitan yang sentiasa berkembang mengikut keperluan pembaca.

Gallimard Jeunesse, katanya, pernah memperkenalkan buku berhalaman plastik yang mendapat sambutan di seluruh dunia serta buku berlagu yang membuka pasaran baharu bagi pembaca kanak-kanak yang lebih muda.

Pasquet turut berkongsi pencapaian Gallimard Jeunesse yang bakal menyambut ulang tahun ke-55 penubuhannya. Sepanjang tempoh tersebut, syarikat itu telah menjual lebih 380 juta naskhah, menerbitkan sekitar 1,700 judul setiap tahun dan bekerjasama dengan hampir 4,000 penulis, ilustrator, penterjemah serta pencipta kandungan.

Pada tahun 2025, Gallimard Jeunesse menguasai kira-kira 10 peratus pasaran buku kanak-kanak dan remaja di Perancis, dengan satu daripada setiap 10 buah buku yang terjual dalam kategori tersebut merupakan terbitannya. Syarikat itu turut merekodkan hasil jualan tahunan sekitar AS$60 juta, manakala jualan antarabangsa menyumbang lebih 10 peratus daripada jumlah tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa kekuatan utama syarikat bukan hanya terletak pada penerbitan judul baharu, tetapi juga keupayaan mengurus katalog lama yang masih mempunyai nilai komersial. Katanya lagi, kira-kira 64 peratus daripada jumlah pendapatan Gallimard Jeunesse datang daripada judul dalam katalog terdahulu.

Menurutnya, karya-karya lama sentiasa diberikan nafas baharu melalui perubahan reka bentuk kulit buku, susun atur halaman dan penggunaan fon yang lebih mesra pembaca muda bagi menyesuaikan diri dengan tabiat pembacaan generasi masa kini.

Selain itu, Gallimard Jeunesse memperkukuh hayat katalog lamanya dengan bekerjasama rapat dengan sekolah, perpustakaan dan kedai buku melalui penghantaran naskhah contoh, bahan pengajaran kepada guru serta pelbagai kempen promosi.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa penerbit tidak boleh terlalu bergantung pada karya lama sehingga mengabaikan pembangunan penulis dan ilustrator baharu.

“Setiap tahun kami menerbitkan sekitar 400 judul baharu. Risiko sentiasa wujud dalam penerbitan, namun tanpa keberanian mengambil risiko, industri ini tidak akan berkembang,” katanya.

Pasquet menunjukkan buku kanak-kanak baharu terbitan Gallimard Jeunesse yang menggabungkan pelbagai medium interaktif.

Pasquet berpandangan bahawa tugas seorang editor bukan sesuatu yang boleh dipelajari sepenuhnya melalui latihan formal, sebaliknya memerlukan bakat semula jadi serta keupayaan memahami emosi dan imaginasi kanak-kanak.

Beliau turut mengimbas pengalaman Gallimard Jeunesse memperoleh hak penerbitan siri Harry Potter sebelum buku tersebut diterbitkan di United Kingdom.

Katanya, ketika manuskrip siri itu diterima, pihaknya hanya bersetuju mendapatkan hak penerbitan bagi buku pertama walaupun pengarang mencadangkan tujuh buah buku.

“Ketika itu tiada siapa dapat menjangka fenomena Harry Potter dan manuskrip tersebut pernah ditolak oleh 11 penerbit di England sebelum diterbitkan. Pengalaman ini mengajar bahawa setiap manuskrip mempunyai peluang untuk berjaya jika bertemu penerbit yang tepat,” jelasnya.

Beliau percaya kejayaan Harry Potter bukan sahaja mengubah landskap penerbitan buku kanak-kanak, malah mendorong lebih ramai remaja membaca dan menghasilkan karya kreatif seperti penulisan karya peminat (fan fiction).

Selain Harry Potter, beliau turut menyifatkan karya Northern Lights oleh Philip Pullman sebagai antara penerbitan penting yang membuka ruang kepada perkembangan sastera khusus untuk pembaca remaja, sekali gus mengisi jurang antara buku kanak-kanak dan buku dewasa.

Menyentuh perkembangan AI, Pasquet menegaskan bahawa perlindungan hak cipta perlu terus menjadi keutamaan industri penerbitan.

Beliau berkata, Eropah telah memperkenalkan peraturan berkaitan penggunaan AI yang mengiktiraf hak cipta, manakala penerbit dan penulis di Perancis turut mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat teknologi yang didakwa menggunakan karya berhak cipta tanpa kebenaran.

Menurut beliau, Gallimard Jeunesse menggunakan AI secara berhati-hati dan setakat ini hanya bagi tujuan reka bentuk grafik, pemasaran serta promosi, bukannya menghasilkan ilustrasi asal atau kandungan editorial.

Mengulas masa depan penerbitan, Pasquet berkata nilai teras syarikat perlu terus dipertahankan walaupun medium penyampaian kandungan berubah mengikut perkembangan teknologi.

Beliau melihat potensi besar dalam pembangunan kandungan rentas media (transmedia), termasuk adaptasi buku kepada filem, permainan digital serta penghasilan produk berlesen yang mampu memperkukuh sumber pendapatan penerbit.

Selain itu, beliau menjangkakan pasaran buku audio dan buku elektronik akan terus berkembang, namun menegaskan bahawa buku audio Gallimard Jeunesse tetap menggunakan pelakon profesional sebagai pembaca, bukannya suara yang dijana AI.

Beliau turut berkongsi usaha menghidupkan semula karya klasik melalui pendekatan baharu, antaranya penerbitan edisi interaktif The Little Prince dengan ilustrasi baharu oleh MinaLima, ilustrator terkenal siri Harry Potter, bagi menarik minat generasi pembaca masa kini tanpa menjejaskan nilai asal karya tersebut.

Mengakhiri sesi, Pasquet menyatakan bahawa sepanjang sejarah, setiap kemunculan teknologi baharu sering diramalkan akan menamatkan hayat buku, namun keadaan sebaliknya berlaku.

“Apabila televisyen muncul, orang berkata pawagam akan berakhir; apabila internet berkembang, orang mengatakan buku akan lenyap; kini AI pula menjadi perhatian. Namun begitu, saya percaya manusia akan sentiasa memerlukan cerita, dan selagi manusia memerlukan cerita, buku akan terus bertahan,” katanya.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi