Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Georgetown – Usaha memperkasakan pengajaran Komponen Sastera (KOMSAS) melalui pendekatan teater bagi menghidupkan teks sastera di sekolah diperkukuh menerusi program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Georgetown, 24 Jun lalu.

Program yang bertemakan “Transformasi Pembelajaran Teks Sastera KOMSAS melalui Pendekatan Teater Berasaskan Pengalaman Langsung dan Persembahan” ini dilaksanakan oleh Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama SMK Georgetown.

Program ini membuktikan bahawa teks KOMSAS bukan sekadar bahan bacaan di dalam bilik darjah, sebaliknya mampu diterjemahkan kepada sebuah pengalaman pembelajaran yang kreatif, interaktif dan menyentuh emosi melalui seni persembahan.

Menerusi program tersebut, pelajar berpeluang untuk mengikuti latihan lakonan, vokal, pembinaan watak, improvisasi serta persembahan yang dibimbing oleh pensyarah dan fasilitator dari USM.

Kemuncak program menyaksikan gabungan murid SMK Georgetown bersama-sama dengan fasilitator mempersembahkan Forum Reflective Theatre Performance (FRTP) berasaskan novel KOMSAS.

Persembahan teater oleh para pelajar SMK Georgetown.

Novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip telah dipilih sebagai teks utama untuk dipersembahkan dalam program ini.

Khairuddin Ayip yang turut hadir menyaksikan persembahan tersebut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para pelajar kerana berjaya mementaskan karya tersebut dengan sangat baik. Tambah beliau,

Pendekatan berasaskan pengalaman sebegini ternyata mencapai objektif pembelajaran KOMSAS, sekali gus dapat menyemai nilai-nilai murni dalam diri pelajar menerusi watak Dahlia dalam novel berkenaan.

Program ini turut disusuli dengan sesi refleksi pelajar, fasilitator dan penulis novel sebelum majlis penyampaian sijil penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Pengetua SMK Georgetown, Puan Siti Indriati Abdul Aziz dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dengan sekolah telah membuka ruang kepada murid untuk mempelajari karya sastera dalam suasana yang lebih autentik dan menyeronokkan.

Pengetua SMK Georgetown, Puan Siti Indriati Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan.

Menurutnya, inisiatif ini dapat membantu pelajar menghayati aspek sastera seperti tema, plot, watak dan nilai murni secara lebih mendalam melalui proses lakonan dan pementasan. Ujarnya lagi,

Pihak sekolah amat berharap agar pendekatan teater dalam pengajaran KOMSAS dapat terus dimanfaatkan oleh guru sebagai alternatif pembelajaran yang lebih berkesan dan interaktif. Usaha sebegini diyakini mampu menjadi inspirasi kepada lebih banyak sekolah untuk memperkasakan pendidikan Bahasa Melayu dan kesusasteraan kebangsaan melalui gabungan kreativiti, seni persembahan dan pengalaman pembelajaran yang bermakna.

Menurut Pengarah Projek SULAM, Dr. Andika Aziz Hussin pula, program ini memperlihatkan bahawa karya sastera yang selama ini dibaca di dalam buku mampu dihidupkan di atas pentas.

“Secara tidak langsung, hal ini menjadikan KOMSAS sebagai wahana yang dapat membentuk jati diri, empati dan kecintaan generasi muda terhadap kesusasteraan Melayu,” ujar beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Seni, USM.

Yang turut hadir memeriahkan acara penutupan program ini ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim; serta Dekan Pusat Pengajian Seni, Profesor Madya Dr. Muhizam Mustafa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi