Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) menganjurkan Sayembara Puisi Kemerdekaan Shah Alam 2026 yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik serta memartabatkan bahasa, sastera dan budaya melalui seni deklamasi puisi.
Penganjuran sayembara ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengetengahkan bakat dalam seni deklamasi puisi, malah memberikan peluang kepada peserta untuk menghayati erti kemerdekaan, di samping menyemai rasa cinta akan negara melalui karya sastera yang bermutu.
Penyertaan pertandingan dibuka secara dalam talian bermula 6 Julai hingga 7 Ogos 2026.
Peserta yang berjaya melepasi peringkat saringan akan berentap pada peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung di Laman Budaya, Tasik Shah Alam pada 16 Ogos 2026.
Sayembara ini melibatkan tiga kategori utama, iaitu kategori sekolah rendah bagi murid berumur tujuh hingga 12 tahun yang bersekolah di negeri Selangor, kategori sekolah menengah bagi pelajar berumur 13 hingga 17 tahun yang bersekolah di negeri Selangor dan kategori dewasa bagi peserta berumur 18 tahun ke atas yang terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia.
Bagi kategori dewasa, johan bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM700, diikuti naib johan RM500, tempat ketiga RM400, tempat keempat RM300 dan tempat kelima RM200.
Sementara itu, kategori sekolah menengah menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500 bagi johan, RM400 bagi naib johan, RM300 bagi tempat ketiga, RM200 bagi tempat keempat dan RM100 bagi tempat kelima.
Bagi kategori sekolah rendah pula, johan akan menerima wang tunai sebanyak RM400, naib johan RM350, tempat ketiga RM250, tempat keempat RM150 dan tempat kelima RM100.
Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan hadiah istimewa pakaian tercantik kepada dua orang peserta peringkat akhir bagi kategori lelaki dan wanita. Setiap pemenang bakal menerima wang tunai sebanyak RM100.
Peserta yang berminat boleh mendapatkan syarat-syarat pertandingan dan membuat pendaftaran melalui kod QR pada poster rasmi atau menerusi pautan ini.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Seksyen Kebudayaan dan Pelancongan, Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA melalui talian 013-6450795 (Encik Ahmad Ridhwan).
