Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Bersempena Pesta Buku Negeri Sembilan 2026, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) telah menganjurkan Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sembilan. Sebagai pengisian festival ini, diadakan Pertandingan Teater Muzikal “Pantomim” yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah.

Penganjuran festival ini bertujuan menggalakkan pelibatan kanak-kanak dalam bidang sastera dan seni kreatif di samping memupuk minat membaca sejak usia muda.

Majlis perasmian Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Khalidah Haji Omar, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan (JPNNS) merangkap Ahli Lembaga Pengarah PPANS. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. Encik Hamdan Haji Nordin, Pengarah PPANS serta YBrs. Encik Mohd Aiman Abdoll Aziz, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, JPNNS.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Encik Hamdan yang menzahirkan perasaan gembira kerana Pesta Buku Negeri Sembilan pada tahun ini cukup bermakna dan meriah kerana diisi dengan program yang melibatkan pelajar sekolah daripada peringkat prasekolah hingga peringkat sekolah menengah.

Dalam ucapan perasmiannya pula, Puan Khalidah Omar berkata,

“Dalam dunia digital yang semakin pantas dan dipengaruhi teks dan visual dalam media sosial, anak-anak yang sedang membesar perlu diajar tentang asas nilai murni, adab dan sopan santun. Satu daripada caranya adalah melalui amalan membaca buku dan manifestasi cerita yang dibaca dalam bentuk persembahan yang kreatif tetapi penuh pengajaran. Festival sebegini amat perlu diadakan dalam setiap kali penganjuran pesta buku agar dapat menarik minat kanak-kanak membeli dan membaca buku, seterusnya memahami buku yang dibaca melalui aktiviti berimaginasi secara kreatif dalam persembahan yang diadakan semasa berlangsungnya pesta buku.”

Pelancaran buku Neraca Nurani dan Awan Imaginasi karya Hajah Mahaya Mohd Yassin oleh YBrs. Puan Khalidah Omar, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Majlis perasmian diserikan dengan persembahan istimewa daripada johan Pertandingan Teater Muzikal “Pantomim”. Turut berlangsung ialah pelancaran buku Neraca Nurani dan Awan Imaginasi hasil penulisan Puan Hajah Mahaya, Sasterawan Negeri Sembilan.

Kemuncak majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Teater Muzikal “Pantomim”. Johan telah disandang oleh Tadika Nur Jasmin, naib johan dimenangi oleh Tadika Minda Canggih manakala tempat ketiga menjadi milik Tadika Perpaduan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi