Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Program wacana Interaktif Apresiasi Puisi – Dari Teks ke Pentas yang melibatkan penyertaan dalam kalangan pemula memperlihatkan kesungguhan untuk membudayakan seni deklamasi puisi.

Program anjuran Kelab Deklamator Pahang (KDP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang (JKKN) dan Majlis Kebudayaan Negeri Pahang (MKNP) ini telah berlangsung pada 26 hingga 27 Jun lepas  bertempat di Kompleks JKKN, Kuantan.

Puan Amaruszati Noor Rahim selaku Pengerusi KDP berkata, “Komitmen peserta yang hadir sungguh luar biasa dan menunjukkan bahawa masih ramai yang berminat untuk menceburi seni deklamasi puisi. Oleh itu, KDP membawakan deklamator Pahang untuk menyebarluaskan lagi ilmu dan pengalaman mereka dalam perkara ini.”

Puan Amaruszati Noor Rahim ketika menyampaikan perkongsian.

Beliau yang juga merupakan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan (SDPK) pada tahun 2003 turut berkata,

Pembudayaan seni deklamasi puisi seharusnya tidak tertumpu ketika bulan kemerdekaan semata-mata, tetapi perlu diangkat sebagai seni persembahan yang sebati dalam jiwa masyarakat pada bila-bila masa.

Sesi pertama telah menampilkan diri beliau sendiri yang berkongsi tentang teori dan teknik penyampaian puisi. Beliau turut berkongsi pengalaman dalam bidang deklamasi puisi yang boleh dijadikan sebagai teladan dan motivasi kepada peserta khususnya bagi kalangan pendeklamasi pemula.

Selain itu, sesi kedua telah disampaikan oleh Puan Siti Nur Zafran yang merupakan deklamator Pahang dan Johan SDPK Peringkat Kebangsaan Tahun 2018. Beliau berkongsi tentang cara menghadam dan memahami puisi serta kaedah menentukan rangkap untuk dijadikan sebagai korus semasa mendeklamasikan puisi.

Puan Siti Nur Zafran berkongsi ilmu deklamasi puisi.

Seterusnya, Encik Muhammad Amirull Afiqq yang merupakan pemenang tempat ketiga SDPK Peringkat Kebangsaan 2025 membimbing peserta berkaitan cara memesrai pentas. Beliau turut berkongsi tip dalam menguasai ruang pentas yang luas, cara menghilangkan perasaan gugup apabila berhadapan dengan khalayak serta teknik pengucapan umum yang berkesan yang boleh diaplikasikan dalam mendeklamasikan puisi.

Encik Muhammad Amirull Afiqq ketika membimbing peserta.

Akhirnya, Tuan Haji Mat Nordin, Johan SDPK Peringkat Negeri Pahang 2017 pula mengisi slot bimbingan berkaitan dengan olahan gerak tubuh dan lontaran suara. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang teater dan deklamasi puisi telah membimbing peserta berkenaan dengan kawalan nafas, kawalan lontaran suara serta penggayaan tubuh semasa mendeklamasikan puisi.

Tuan Haji Mat Nordin ketika membimbing peserta.

Puan Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah semasa merasmikan Majlis Perasmian Penutupan menyatakan sokongan penuh terhadap program berbentuk perkongsian teknik penyampaian dan deklamasi puisi yang dianjurkan.

Beliau turut menyatakan bahawa perkongsian bermanfaat seperti program tersebut wajar dianjurkan dengan lebih meluas melibatkan pelbagai peringkat masyarakat dalam membudayakan seni deklamasi puisi.

Puan Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah ketika menyampaikan ucapan.

Di samping itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada KDP, JKKN dan MKNP yang berusaha merealisasikan bengkel tersebut dengan cukup berkesan dan interaktif.

Turut hadir ialah Encik Mohd Rizal Ismail, Pengarah JKKN Pahang, Puan Musazliza Mustan Shir (DBP), Encik Muhammad Affan (DBP) dan ahli jawatankuasa KDP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi