Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Karnival Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2026 menjadi medium penting untuk memperkukuh kebersamaan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa UPSI.
Karnival yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik ini diadakan di Padang Kawad, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI, Sabtu lalu.
Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung termasuklah demonstrasi Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertunjukan akrobatik bermotosikal, persembahan pancaragam dan persembahan oleh pelajar badan beruniform.
Terdapat juga reruai pameran aset dan jentera berat agensi beruniform serta pameran kursus kokurikulum berkredit yang melibatkan unit kokurikulum Kelana Siswa, Kembara Alam dan Silat Gayong.
Karnival yang menghimpunkan sebanyak 7171 pelajar Ijazah Sarjana Muda daripada 53 kursus kokurikulum berkredit ini dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.
Menurut beliau, aktiviti kokurikulum merupakan “makmal kehidupan” yang membentuk karakter, integriti dan daya tahan mahasiswa.
Karnival kokurikulum ini dimeriahkan dengan kehadiran mahasiswa UPSI serta masyarakat luar yang turut hadir untuk menyaksikan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Penganjuran program ini bukan sahaja menampilkan pelbagai pertunjukan menarik, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat generasi muda merealisasikan impian, di samping memperkukuh perpaduan serta mengangkat nama UPSI di persada antarabangsa.