Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Serdang – “Menulis ialah sebuah perjalanan pengalaman yang menjadi makna, bahasa pula menjadi jambatan yang menghubungkan kedua-duanya. Pada zaman kini, ramai orang lebih gemar memendekkan makna berbanding memanjangkannya.”
Demikian kata Zaen Kasturi, selaku penceramah “Program Bimbingan Penulisan: Proses Kreatif Karya Terpilih (Siri VIII)” anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kelab Alumni Kelab Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan kerjasama Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 Jun lalu.
Zaen Kasturi yang juga merupakan mantan pensyarah sambilan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (UPM) beberapa tahun lalu, berkongsi pengalaman dan perjalanan menulis puisi dan cerpen.
Menurutnya, tujuan utama menulis adalah kerana ingin memahami sebuah kehidupan yang tidak dapat dilihat dan diucapkan secara biasa. Karya kreatif merangkumi sesuatu yang keluar daripada jiwa dan perasaan melalui unsur imej dan citra serta harus berlaku dalam ruang lingkup masa yang bukan seperti kebiasaan.
Beliau turut berkongsi proses kreativiti puisinya yang terkenal, iaitu “Ke Ruang Katarsis”. Puisi berkenaan lahir daripada sebuah pertanyaan, iaitu mengapa manusia semakin jauh daripada sejarah, kemanusiaan dan nurani. Menurutnya, perkataan katarsis berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud suatu perjalanan batin yang menelusuri makna penyucian dan pembersihan jiwa serta kebebasan daripada keresahan.
Katanya, secara umumnya puisi itu berkisahkan tentang perubahan daripada yang tidak baik kepada yang baik dan bermanfaat, serta perasaan keharuan yang melonjakkan emosi penulis.
Ujarnya lagi, seseorang penulis yang berkualiti bukan sekadar melontarkan persoalan tetapi bertanggungjawab memberikan jawapan penyelesaian kepada pembaca, sekali gus mencerminkan kekuatan penulisan dalam berfikir ketika berkarya.
Selain itu, penggunaan unsur teknik pengulangan, unsur bahasa dan gaya serta dimensi kerohanian menjadi tonggak kepada puisi “Ke Ruang Katarsis” yang penuh dengan unsur absurd dan tersirat.
Pada akhir sesi, Zaen Kasturi berpesan kepada para peserta agar rajin membaca dan sentiasa membuat latihan berbahasa untuk meningkatkan kualiti penulisan serta menulis setiap perkara yang datang daripada hati nurani.
Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Kelab Alumni MPR yang diadakan dengan kerjasama FBMK UPM sejak Januari lalu. Antara penceramah yang telah terlibat pada siri lepas termasuklah Salina Ibrahim, Lutfi Ishak, A. Muziru Idham Adnan, Hafizah Iszahanid, Nisah Haron, Dr. Fahd Razy dan Ainunl Muaiyanah.
Menerusi program ini, para peserta didedahkan secara langsung tentang penulisan kreatif dan bertukar pandangan bersama-sama dengan penceramah jemputan.