Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan–Pasukan Gemala Seri Pekan dinobatkan sebagai johan Pesta Pantun Terbuka Pahang 2026 yang berlangsung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang pada 13 Jun lepas.

Pesta Pantun Terbuka Pahang 2026 yang dianjurkan oleh JKKN Pahang itu telah menghimpunkan tujuh pasukan dari pelbagai organisasi dan komuniti di seluruh negeri Pahang.  Pesta pantun ini diadakan bertujuan untuk memartabatkan seni warisan pantun Melayu serta memperkukuhkan jaringan dalam kalangan penggiat seni budaya.

Pasukan Gemala Seri Pekan yang terdiri daripada gabungan penggiat pantun yang berasal dan bermastautin di negeri Pahang menampilkan barisan pemantun berpengalaman, iaitu Mohd Husaini Mohamad Rofi (Pemantun 1), Muhammad Faizuddin Hashim (Pemantun 2), Mohd Norhafifi Zulkiaply (Pemantun 3) serta Amni Fatehah Mohd Yusri sebagai pemantun simpanan.

Kejayaan tersebut membolehkan Gemala Seri Pekan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000 berserta piala iringan setelah berjaya menewaskan pasukan lain yang turut memberikan saingan sengit sepanjang pertandingan.

Antara pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini ialah Lentera Adiwarna (Hospital Muadzam Shah), Pujangga Merah (Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang), Kembara Klasik (Tourism Pahang), Naga Bersuara (Komuniti Chini), Pendeta Berlima (SK Indera Shahbandar Pekan) dan Citra Perpaduan (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pahang).

Pasukan Lentera Adiwarna muncul sebagai naib johan, manakala tempat saguhati pertama dimenangi oleh Pujangga Merah dan saguhati kedua menjadi milik Kembara Klasik. Kembara Klasik turut menerima anugerah Busana Terbaik, sementara anugerah Pemantun Terbaik disandang oleh Norshamsidah Samsudin daripada pasukan Lentera Adiwarna.

Turut hadir semasa Majlis Penutupan dan Pertandingan Akhir ialah Encik Mohd Radzi Omar selaku Wakil Rasmi Ketua Pengarah JKKN, Encik Mohd Rizal Ismail, Pengarah JKKN Pahang, serta Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry.

Penganjuran Pesta Pantun Terbuka Pahang 2026 dilihat sebagai satu platform penting dalam usaha memelihara dan memperkasa warisan pantun Melayu agar terus relevan serta diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi