Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Sastera kanak-kanak berperanan penting sebagai medium pendidikan alam sekitar dalam usaha membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap kelestarian alam dan cabaran krisis ekologi semasa.

Perkara tersebut dibentangkan oleh Dr. Yenni Hayati dalam kertas kerja penyelidikan bertajuk “Ekoliterasi dalam Sastra Anak di Indonesia” pada Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja (SSKKR) Ke-15 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Auditorium Za’ba, UPM, semalam.

Menurut beliau, selain berfungsi sebagai bahan bacaan hiburan, sastera kanak-kanak moden Indonesia memikul tanggungjawab mendidik pembaca muda tentang pelbagai bentuk literasi, termasuk ekoliterasi atau literasi alam sekitar.

Kajian yang dijalankan menggunakan pendekatan kualitatif dan analisis kandungan itu meneliti empat novel karya penulis terkenal Indonesia, Tere Liye, iaitu Si Anak Savana, Si Anak Pemberani, Si Anak Spesial dan Si Anak Badai.

Dr. Yenni menjelaskan bahawa keempat-empat novel tersebut memaparkan alam sebagai entiti hidup yang dekat dengan kehidupan manusia. Gambaran keindahan savana, sungai, hutan, laut dan kawasan maritim disampaikan secara tersurat dan tersirat bagi menanam kesedaran bahawa manusia hidup bersama-sama makhluk lain dalam satu ekosistem yang saling bergantung.

Beliau berkata, karya-karya tersebut turut memperkenalkan pelbagai unsur alam seperti hujan tropika, hulu sungai dan kehidupan hidupan air yang dapat membantu kanak-kanak memahami hubungan manusia dengan alam secara lebih mendalam.

“Melalui sastera, kanak-kanak dididik untuk menghargai alam dan memahami bahawa kesejahteraan manusia bergantung pada keseimbangan ekosistem,” katanya.

Selain memaparkan keindahan alam, novel-novel yang dikaji turut mengetengahkan pelbagai isu kemusnahan alam sekitar yang berpunca daripada tindakan manusia sendiri, antaranya termasuklah penebangan hutan secara berlebihan, pembakaran kawasan hutan dan eksploitasi sumber alam bagi tujuan komersial.

Menurut beliau, pengarang berusaha menyampaikan mesej bahawa bencana alam bukan sekadar fenomena semula jadi, sebaliknya sering berpunca daripada pilihan dan tindakan manusia yang gagal menghargai alam sekitar.

Beliau turut menegaskan bahawa kemerosotan alam sekitar mempunyai hubungan rapat dengan kemiskinan masyarakat. Kawasan yang mengalami kerosakan ekologi lazimnya berdepan masalah kekurangan sumber dan peluang ekonomi, manakala kawasan yang terpelihara berpotensi menjana kesejahteraan hidup yang lebih baik.

Katanya lagi, sastera kanak-kanak mampu menjadi wahana berkesan untuk membentuk pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda agar mereka memahami bahawa kelestarian alam merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipelihara demi masa depan masyarakat dan negara.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi