Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) bukanlah ancaman terhadap sastera kanak-kanak dan remaja, sebaliknya dapat dijadikan sebagai alat untuk membantu pengkarya.

Demikian antara inti pati utama yang diketengahkan dalam forum bertajuk “Karya Kanak-kanak Era Digital: Kreativiti Penulis atau Kecerdasan Buatan?”, yang berlangsung semalam di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sesi forum yang dipengerusikan oleh Ishak Hamzah dan Fazleena Hishamuddin menghimpunkan figura-figura penting dalam dunia penulisan dan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja, iaitu Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Haji Muhamad, penulis terkenal, Nisah Haron, Pengarah Urusan PTS Media Group Sdn. Bhd., Arief Hakim Sani Rahmat dan Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.

Dalam sesi tersebut, Datin Paduka Mastura berpendapat bahawa AI dapat dimanfaatkan sebagai “kenderaan” atau alat bantu, namun kemahiran teras seperti membaca, menulis, berfikir secara kritis, melukis dan bercerita tetap perlu dipupuk melalui bimbingan manusia.

“AI hanyalah alat seperti penggunaan kalkulator dalam mata pelajaran Matematik Tambahan. Penggunaannya membantu mempercepat pengiraan, tetapi pemahaman konsep dan kebolehan berfikir tetap datang daripada manusia,” ujar beliau.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Haji Muhamad.

Berkongsi pengalaman sendiri, Nisah Haron pula berkata bahawa beliau menggunakan AI sebagai alat penyelidikan dalam penghasilan karya.

Penulis terkenal, Nisah Haron ketika berkongsi tentang penghasilan buku Chempaka dengan Piano.

Menurutnya, ketika menulis buku Chempaka dengan Piano yang mengisahkan kanak-kanak autistik, beliau memanfaatkan AI untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan jenis-jenis sensitiviti yang dialami oleh kanak-kanak autistik.

“AI membantu menyenaraikan maklumat yang diperlukan, namun saya tetap perlu menilai, memilih dan menyesuaikannya dengan konteks tempatan serta keperluan karya yang sedang dihasilkan,” tambah beliau.

Sementara itu, Arief Hakim Sani turut membangkitkan isu hak cipta dan lambakan kandungan yang dijana oleh AI dalam industri penerbitan.

“Masalah yang timbul bukan sekadar soal kuantiti, tetapi juga kualiti. Lambakan karya yang dihasilkan secara automatik akan menjejaskan ekosistem penerbitan apabila pasaran dibanjiri bahan bacaan yang kurang bernilai dari segi pemikiran, emosi dan kreativiti,” ujarnya.

Pengarah Urusan PTS Media Group Sdn. Bhd., Arief Hakim Sani Rahmat.

Putri Yasmin pula menjelaskan bahawa Astro mengambil pendekatan berhati-hati dalam penggunaan AI dengan melaksanakan beberapa eksperimen secara terkawal dan dipantau.

“Namun begitu, aspek utama penerbitan seperti penulisan skrip, lakonan dan penghasilan karya masih digerakkan oleh manusia serta berasaskan karya asli,” tambah beliau lagi.

Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.

Forum ini merupakan sebahagian daripada Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-15, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) dan FBMK, UPM.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi