Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Zulzafry Zulkifly yang juga merupakan alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) 2024 telah menerbitkan karya sulungnya bertajuk Cengkerumah terbitan Legasi Oakheart.
Cengkerumah menghimpunkan cerita-cerita Zulzafry Zulkifly yang mengangkat pelbagai definisi tentang rumah. Mengulas idea penerbitan buku tersebut, Zulzafry berkata bahawa beliau sememangnya menyimpan impian untuk memiliki buku sendiri. Namun begitu, penghasilan sebuah kumpulan cerpen yang dirancang khusus sejak awal untuk dibukukan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Saya mendapati banyak penulis menghimpunkan cerpen yang pernah diterbitkan secara eceran dalam sebuah buku. Jadi, saya merasakan pendekatan itu sesuai untuk saya. Oleh itu, Cengkerumah menghimpunkan cerpen yang agak bervariasi,” katanya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, baru-baru ini.
Menurut beliau, proses pemilihan cerpen pula banyak dibantu oleh editor, Sayidah Mu’izzah. Beliau menyerahkan hampir semua cerpen yang pernah diterbitkan dan belum pernah diterbitkan untuk dinilai sebelum pemilihan dibuat. Ujarnya,
Dalam tempoh kira-kira setahun, banyak cerpen yang digugurkan dan ditambah sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
Ketika ditanya tentang pemilihan Legasi Oakheart sebagai penerbit, Zulzafry menjelaskan bahawa Sayidah Mu’izzah merupakan tenaga pengajar cerpen ketika beliau mengikuti MPR 2024. Selepas program tersebut berakhir, Sayidah mempelawanya untuk menerbitkan buku bersama Legasi Oakheart.
Ketika itu, saya memang tidak mempunyai perancangan untuk menerbitkan buku dengan mana-mana penerbit lain, jadi saya terus menerima pelawaan tersebut dengan penuh keterujaan. Tambahan pula, saya mengetahui bahawa banyak penulis hebat menerbitkan karya mereka melalui Legasi Oakheart.
Buku ini boleh didapatkan di reruai Legasi Oakheart di Dewan Merdeka, Aras 4, WTC.