Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis buku kanak-kanak, Azura Mohd Halid dan pelukis ilustrasi, Salmiah Kasmuni berkongsi pengalaman mereka menghasilkan buku kanak-kanak menerusi sesi Santai Bersama-sama Penulis “Mengapa Saya Tulis …” yang berlangsung bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Program tersebut menampilkan kedua-dua individu yang telah bekerjasama menghasilkan buku kanak-kanak yang bertajuk Alam Pisang dan Hutan Seribu Warna.

Azura yang merupakan pemenang Anugerah Sastera Johor ke-14 bagi kategori Rencana Pembangunan Johor berkata, beliau pada awalnya lebih cenderung menghasilkan karya untuk pembaca dewasa sebelum beralih kepada penulisan buku kanak-kanak.

Azura Mohd Halid semasa berkongsi pengalamannya tentang penghasilan buku Alam Pisang dan Hutan Seribu Warna.

Menurut beliau, peralihan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana laras bahasa bagi kedua-dua kelompok pembaca itu amat berbeza.

Pada peringkat awal, manuskrip saya ditolak kerana laras bahasanya terlalu tinggi. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mempelajari teknik penulisan buku kanak-kanak dengan menghadiri pelbagai bengkel.

Beliau berkata, usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila buku kanak-kanak pertamanya, Alam Pisang, berjaya diterbitkan selepas enam hingga tujuh tahun.

Menyentuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang penulisan, beliau berpendapat bahawa AI dapat dimanfaatkan sebagai alat bantuan untuk mendapatkan cadangan dan penambahbaikan karya, namun penggunaannya untuk berkarya tanpa sebarang pengubahsuaian akan menimbulkan isu plagiat.

“Penulis buku kanak-kanak perlu benar-benar memahami dunia kanak-kanak. AI dapat membantu, tetapi teknologi ini tidak dapat menggantikan pengalaman dan pemahaman manusia sepenuhnya,” tambahnya.

Beliau turut menasihati penulis pemula agar terus berkarya dan tidak mudah berpuas hati apabila karya mereka berjaya diterbitkan. Sebaliknya, mereka perlu aktif mencari peluang penerbitan lain, termasuk melalui majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sementara itu, Salmiah yang juga pemenang Kategori Novel Dewasa dalam Anugerah Sastera Johor ke-14 berkata, pelibatannya sebagai pelukis ilustrasi buku dan penulis hanya sebagai hobi, meskipun kerjaya hakikinya ialah pelukis pelan seni bina.

Pelukis ilustrasi buku Alam Pisang dan Hutan Seribu Warna, Puan Salmiah Kasmuni.

Menurut beliau, penghasilan ilustrasi bagi buku Hutan Seribu Warna mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk disiapkan berdasarkan teks yang diberikan oleh penulis.

Beliau juga berpendapat bahawa ilustrasi memainkan peranan penting dalam buku kanak-kanak kerana gambar merupakan elemen pertama yang menarik perhatian pembaca.

Walaupun mengakui perkembangan AI memberikan cabaran baharu kepada penggiat seni visual, beliau tetap berusaha meneroka teknologi tersebut bagi menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Selain berkongsi pengalaman, kedua-dua pembicara turut memberikan dorongan kepada penulis dan pelukis muda untuk terus berkarya serta mengembangkan bakat melalui pelbagai genre dan platform penerbitan.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi