Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Novel fiksyen sains remaja terbaharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjudul Klikon karya Nor Azita Umar memaparkan keunikannya yang tersendiri, iaitu berjaya mengetengahkan inovasi sains dan kelestarian ekosistem bumi.

Atas semangat untuk memperkenalkan karya tersebut, DBP mengambil peluang mengadakan sesi bual bicara yang dikendalikan oleh Puan Fansurina Ramli bersama-sama dengan penulisnya, Nor Azita Umar. Sesi tersebut berlangsung bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Pada awal bicara tersebut, Puan Nor Azita Umar berkongsi pengalamannya menghasilkan tiga buah buku cerita kanak-kanak yang sarat dengan mesej dan pengajaran. Langkah beliau dalam dunia penulisan melebar luas apabila menyertai Bengkel Penulisan Remaja anjuran Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja DBP pada tahun 2021.

Hasilnya, beliau mencabar diri dengan menulis karya fiksyen sains walaupun tidak memiliki latar belakang akademik dalam bidang tersebut.

Penulis novel Klikon, Nor Azita Umar (kanan) dan Puan Fansurina Ramli (kiri) ketika sesi bual bicara.

Bercerita tentang proses penulisannya, beliau menyatakan bahawa bagi mengelakkan kekeliruan plot akibat pertambahan watak dan jalan cerita yang semakin panjang, beliau menulis dengan menggunakan kaedah pemetaan terperinci tentang watak dan latar tempat bagi mengelakkan manuskripnya menjadi cacamarba.

Selain itu, beliau juga melakukan rujukan menerusi Internet, termasuklah merujuk kenyataan Dr. Sharifah Mazlina tentang ancaman “kiamat iklim” dunia akibat pencairan ais di Kutub Utara dan keaktifan gunung berapi di Antartika. Jelasnya,

Dalam novel ini, saya turut menyerapkan fakta pelepas karbon dioksida, kesan rumah hijau daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), inovasi peranti pengesan tanah runtuh MMU, serta mekanisme alat pengawal iklim rumah kaca empat musim di Shah Alam sebagai asas penciptaan Klikon.

Dalam novel tersebut, beliau menjelaskan bahawa mesin Klikon berfungsi dengan menggunakan satelit, monitor radar dan skrin data untuk mengawal cuaca secara automatik dan mampu mengarahkan pencawang setempat menyerakkan awan jika taburan hujan terlalu lebat atau mengumpulkan awan bagi tujuan pembenihan hujan di kawasan kemarau. Tambah beliau:

Watak Profesor Abdullah dan anaknya Attar, menekankan bahawa dunia akan binasa sekiranya alat kawalan cuaca global tersebut jatuh ke tangan pihak yang salah demi kepentingan peribadi.

 

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi