Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Penganjuran Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu pada peringkat global, sekali gus melahirkan penulis muda generasi baharu yang mampu menghasilkan karya bermutu tinggi berteraskan pembinaan watak dan nilai kemanusiaan.
Penasihat program, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata bahawa sayembara itu julung-julung kali dianjurkan dengan penyertaan dibuka kepada peserta antarabangsa, berbeza dengan kebanyakan pertandingan penulisan sebelum ini yang hanya tertumpu kepada warganegara Malaysia.

Menurut beliau, langkah tersebut selaras dengan dasar diplomasi kebudayaan negara yang memberikan ruang kepada bahasa dan sastera Melayu diperkenalkan kepada masyarakat dunia menerusi karya kreatif.
“Ini kali pertama, setahu saya, sayembara seperti ini dibuka kepada warga antarabangsa. Kita berada pada era globalisasi dan perlu meraikan masyarakat luar negara yang memberikan perhatian kepada bahasa Melayu,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran sayembara itu di Wisma Pelangi, Bangi pagi semalam.
Beliau menjelaskan bahawa tema utama sayembara berkenaan ialah pembinaan watak bagi melahirkan generasi berilmu, bijaksana, beriman dan patriotik, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
Sayembara itu dianjurkan oleh Sanggar Ilmu Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penerbitan Pelangi Berhad.
Ketua Editor Bahagian Majalah menjalankan tugas Pengarah Penerbitan sekarang, YBrs. Dr. Rosmani Omar dalam ucapannya berkata, program tersebut menjadi usaha penting untuk meningkatkan kuantiti penerbitan buku tempatan, sekali gus memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja pada peringkat kebangsaan, malah pada peringkat antarabangsa juga.

Katanya, pendedahan awal tentang bidang penulisan mampu membentuk minat generasi muda terhadap dunia pengkaryaan dan menjadikan mereka pelapis masa depan negara.
“Usaha seperti ini perlu diteruskan supaya generasi cilik dapat dididik mencintai bidang pengkaryaan kerana merekalah pewaris masa depan negara,” katanya.
Pada masa yang sama, Awang Sariyan berkata, sayembara tersebut menjadi platform pembangunan bakat secara berterusan melalui penubuhan Kelab Penulis Sanggar Ilmu yang bakal menghimpunkan peserta tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, peserta yang menunjukkan potensi akan dibimbing melalui bengkel penulisan, penyuntingan dan terjemahan, termasuk peluang menerbitkan karya walaupun tidak memenangi pertandingan.
“Kita tidak mahu mereka berhenti setakat menang hadiah dan pulang begitu sahaja. Kita mahu membina penulis yang terus berkarya dan berkembang,” katanya.
Tambah beliau, pihak penganjur juga merancang untuk memperluas karya pemenang ke medium lain seperti e-buku, drama, animasi, teater dan komik bagi meningkatkan capaian khalayak.
Menurutnya, pengalaman Dewan Bahasa dan Pustaka dalam adaptasi karya ke medium kreatif dapat dimanfaatkan untuk memperluas pengaruh karya kanak-kanak dan remaja tempatan.
“Kita mahu karya ini berkembang, mungkin menjadi teks drama, animasi atau karya digital seperti Upin dan Ipin, itu antara perancangan jangka panjang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa jaringan antarabangsa melibatkan universiti di China, Jepun, Jerman dan Rusia akan digunakan untuk mempromosikan sayembara tersebut serta memperluas penyebaran karya bahasa Melayu ke luar negara.
Selain itu, karya terpilih juga berpotensi diketengahkan dalam pesta buku antarabangsa seperti Frankfurt Book Fair dan Beijing International Book Fair.
Dalam perkembangan sama, pihak penganjur turut merancang untuk memperkenalkan Anugerah Buku Kanak-kanak dan Remaja dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebagai usaha menghargai pengkarya genre tersebut.
Sayembara berkenaan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM2,000 dan terbuka kepada peserta berumur 12 tahun ke atas dalam kategori tempatan dan antarabangsa.
Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 31 Julai 2026, manakala pengumuman pemenang dijadualkan pada 31 Ogos bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan sebelum majlis penyampaian hadiah diadakan pada 16 September bersempena dengan Hari Malaysia.