Diterbitkan pada 28 April 2026, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Kelab Alumni MPR dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah melaksanakan Program Alumni MPR, iaitu “Program Bimbingan Penulisan: Proses Kreatif Karya Terpilih (Siri V)” pada 22 April lepas bertempat di Wisata Minda, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Program tersebut menampilkan penceramah jemputan, iaitu Nisah Haron (alumni MPR tahun 1993) berkongsi tentang pengalaman menulis beberapa karya travelog dengan menggunakan sarana sastera (literary device) supaya kisah yang ditulis memberi kesan yang mendalam dan dapat dinikmati pembaca.

Dua buah buku yang menjadi rujukan dalam program tersebut ialah Kembara Sastera UK & Dublin dan Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah.

Menurut Nisah, sebagai seorang penulis, satu daripada cabaran menulis travelog ialah kemampuan untuk menterjemah perasaan yang dialaminya kepada pembaca dan memilih kata-kata atau ungkapan yang tepat.

Penulis yang baik mampu menggunakan teknik dan gaya bahasa yang sesuai untuk menghidupkan imaginasi serta menimbulkan emosi seperti perasaan marah, sedih atau gembira kepada pembaca.

Ujarnya lagi, penulis boleh memanfaatkan perlambangan atau simbolisme untuk menggambarkan konsep atau idea tertentu. Sebagai contoh, objek kapal dan rumah api boleh mewakili hubungan suami dan isteri yang berjauhan, namun sarat dengan kesetiaan.

Nisah juga turut berpesan kepada peserta yang terdiri daripada mahasiswa Jabatan Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM untuk memperbanyak bahan bacaan.

Jika mengembara ke sesebuah negara, carilah karya besar di negara itu kerana di dalamnya terkandung pemikiran dan pemerhatian tentang bangsa itu.

Prof. Madya Dr. Kamariah Kamaruddin menyampaikan cenderahati kepada Puan Nisah Haron (kiri sekali).

 

Prof. Madya Dr. Kamariah Kamaruddin, selaku tuan rumah dan penasihat program turut menasihati para peserta untuk memanfaatkan peluang yang ada dengan bertanya secara terus kepada penceramah yang berpengalaman.

Turut hadir ialah Puan Salina Ibrahim, Pengerusi Kelab Alumni MPR dan Puan Zulfa Abdul Aziz, Penolong Perancang Bahasa dan Kepakaran DBP, Bahagian Pembinaan Bakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi