Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bagi memperkukuh institusi keluarga dan komuniti melalui pendidikan serta pembudayaan ilmu, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) dengan kerjasama Syahida Hassan Enterprise (SHE) telah menganjurkan program Kelah Suri di Kota Baca 2026.
Program Kelah Suri menyasarkan pengunjung daripada golongan keluarga muda, khususnya para ibu dan kanak-kanak. Sehubungan itu, aktiviti “DIY Bookmarks & Journaling” telah diadakan bagi memberi ruang kepada para ibu meluangkan masa berkualiti bersama-sama dengan anak-anak.
Sesi penulisan jurnal yang dikendalikan oleh novelis jemputan, Idora Darwina, telah menonjolkan sisi kreatif para ibu di samping menjadi medium refleksi diri. Anak-anak turut teruja apabila diberi peluang menghasilkan penanda buku rekaan mereka sendiri.

Dalam ucapan perasmian Kelah Suri yang diadakan secara dalam talian, Bendahari Kehormat SRR, Hanan Hamidon, berkata, “Kelah Suri bukan sahaja bertujuan untuk menghidupkan budaya membaca, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran tentang kepentingan buku sebagai medium pembangunan keluarga.”
Selain itu, Kelah Suri turut membawakan aktiviti “Book Review & Swap Challenge”, iaitu pengunjung memberi resensi terhadap buku yang telah dibaca dan berpeluang mendapatkan senaskhah buku baharu. Dalam masa yang sama, turut diadakan slot “Suri Baca Suri Kongsi: Jalan Menjadi Penulis Suri” yang dikongsi oleh Wan Nur Syakira, penulis buku Berbual-bual Dengan Anak Tentang Seksualiti. Kelah Suri diakhiri dengan sesi bual santai oleh Dr. Nur Hamizah Basri, aktivis Malaysia Against Pornography (MAP), berkaitan kesedaran seksualiti dalam kalangan remaja.
Program Kota Baca yang dianjurkan sempena Hari Buku & Hak Cipta Sedunia (UNESCO) telah berlangsung selama empat hari, bermula 23 hingga 26 April, bertempat di Dataran Merdeka serta secara dalam talian, dengan pelbagai program menarik sesuai untuk seisi keluarga, khususnya pencinta buku dan ilmu.