Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur— Siapakah yang menyangka bahawa buku lama yang tidak lagi disentuh mampu diberi nafas baharu dan dimanfaatkan oleh khalayak yang lebih luas.
Berpegang pada prinsip “naskhah lama anda, sinar baharu mereka”, pihak LOCCO tampil menganjurkan program “Derma Buka Buku” sebagai usaha memperkasakan budaya membaca dalam masyarakat. Program tersebut berlangsung dari 24 hingga 26 April 2026 di Dataran Merdeka bersempena penganjuran Kota Baca 2026.

Kaunter pengumpulan yang dibuka di reruai nombor 88 mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang tampil menyumbangkan bahan bacaan masing-masing.

Menurut penganjur, pelbagai jenis buku diterima selagi berada dalam keadaan baik, kecuali buku teks dan buku ulang kaji. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah pragmatik dalam memastikan bahan bacaan yang tidak lagi digunakan dapat dimanfaatkan semula oleh komuniti lain.
Buku-buku yang disumbangkan akan disalurkan kepada beberapa lokasi terpilih termasuklah perkampungan Orang Asli, pusat pembelajaran pelarian, program “library outreach” serta perpustakaan komuniti. Pada masa yang sama, sebahagian buku akan dijual dan hasil kutipan akan disalurkan kepada rumah perlindungan haiwan serta bagi menampung kos utiliti rumah warga emas.
Usaha ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan sosial, malah memperkukuh ekosistem pembacaan dalam kalangan masyarakat. Program seperti ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif lestari yang mengangkat nilai ilmu dan kebajikan secara serentak.