Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang — Pasukan B Universiti Malaya muncul johan Festival Pantun Antara Asasi Malaysia 2026 (FANTASI 2026) selepas menewaskan saingan sengit daripada pasukan-pasukan terbaik peringkat asasi institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Kemenangan tersebut melayakkan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500 berserta Piala Pusingan FANTASI 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara pasukan pemantun terbaik dalam kalangan pelajar asasi di Malaysia. Naib johan pula dimenangi oleh pasukan B Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menerima wang tunai sebanyak RM2,000, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan wang tunai sebanyak RM1,500.

Selain kategori utama, beberapa anugerah khas turut diberikan bagi mengiktiraf bakat dan persembahan peserta. Pasukan B Universiti Malaya turut meraih anugerah Video Pantun Pembuka Terbaik dengan hadiah sebanyak RM300. Anugerah Busana Terbaik pula dimenangi oleh pasukan B Kolej Matrikulasi Selangor yang turut menerima hadiah sebanyak RM300.
Lima pasukan lain turut menerima hadiah sagu hati berjumlah RM500 setiap satu, iaitu pasukan A Universiti Putra Malaysia (UPM), pasukan A Universiti Malaya, pasukan A UiTM, pasukan B Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pasukan A Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bagi kategori individu, anugerah Pemantun Terbaik dimenangi oleh Ahmed Danish Haiqal Jasmi daripada pasukan B UiTM yang mempamerkan kehebatan berpantun dengan gaya penyampaian yang tersusun, kreatif dan penuh keyakinan.
Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 April 2026 itu diadakan di Kompleks Akademik E dan Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. Program ini dianjurkan oleh Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra UPM) dengan kerjasama PKKSSAAS UPM.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, YBhg. Profesor Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib yang turut merasmikan penutupan festival tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pelibatan aktif pelajar dari seluruh negara yang bukan sahaja memeriahkan program, malah turut mencerminkan semangat kesatuan dalam kalangan institusi pengajian tinggi.
“Kehadiran para peserta dari seluruh negara bukan sahaja memeriahkan program ini malah mencerminkan semangat kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya melangkah ke peringkat akhir serta mempamerkan persembahan yang berkualiti tinggi.
“Persembahan yang dipamerkan amat hebat, penuh kreativiti dengan keindahan bahasa serta kehalusan budi yang mencerminkan keunggulan seni pantun dalam kalangan generasi muda hari ini,” ujarnya.
Menurut beliau, penganjuran FANTASI 2026 telah memperlihatkan bahawa seni pantun masih relevan sebagai medium pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar.
“Tema “Menyemai Benih Warisan, Menuai Hasil Berpanjangan” membawa makna yang sangat mendalam, iaitu menggambarkan usaha berterusan generasi kini untuk memelihara warisan budaya agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Tambah beliau lagi, sebagai institusi pendidikan, UPM komited dalam menyokong usaha memartabatkan budaya dan warisan bangsa melalui penganjuran program seumpama itu.
Sementara itu, Pengarah ASPutra UPM, YBhg. Profesor Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah dalam ucapan alu-aluannya berkata penganjuran festival tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara ASPutra UPM dengan PKKSSAAS UPM.
Menurut beliau, sinergi tersebut mencerminkan kesungguhan dalam memartabatkan warisan sastera Melayu khususnya seni pantun sebagai cerminan jati diri bangsa.
“FANTASI 2026 ini bukan sekadar sebuah pertandingan, festival ini merupakan wadah untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa dan budaya di samping membina keyakinan diri serta memperkasakan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan pelajar asasi daripada pelbagai universiti awam dan institusi jemputan membuktikan seni pantun terus subur dalam kalangan generasi muda.
Pada penghujung program, wakil juri dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Mohd Amran Daud berkata pihak juri berhadapan dengan cabaran besar dalam menentukan pemenang kerana tahap persembahan yang sangat tinggi.
“Secara jujur, kami sukar membuat pilihan kerana kedua-dua pasukan finalis mempamerkan kreativiti yang luar biasa dan hampir tiada kesalahan dalam aspek teknikal pantun,” katanya.
Beliau turut memuji keupayaan pelajar asasi yang mampu mempersembahkan pantun di luar jangkaan dengan penguasaan hukum pantun yang baik.
Namun begitu, beliau turut memberikan beberapa teguran membina termasuk aspek penggunaan pembayang yang lebih dekat dengan alam, kejelasan sebutan serta pemilihan soalan yang tidak terlalu sukar bagi memastikan kelancaran pertandingan.