Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Persatuan Gerak Teater Tari Johor Bahru (GTTJB) bakal menerbitkan Teater Aladin, sebuah kisah klasik daripada Hikayat 1001 Malam pada 14 dan 15 Februari 2026 di Auditorium JOTIC, pukul 3.00 petang dan 8.30 malam.
Kisah Aladin ini telah diolah semula oleh Senjakala, yang juga penulis dan pengarah Teater Aladin, dalam konteks remaja sekolah menengah.
Aladin bukan sekadar pencuri jalanan, tetapi seorang pelajar yang memberontak mencari identiti dan makna kejayaan.
Kemunculan lampu hikmat, jin dan puteri membuka perjalanan antara cita-cita, pilihan hidup, persahabatan dengan keberanian untuk berubah.
Antara tema utama Teater Aladin termasuklah pencarian jati diri remaja, pilihan hidup dan tanggungjawab, impian melawan realiti; serta kejujuran, keberanian dan perubahan diri.
Pementasan Teater Aladin menumpukan konsep muzikal sekolah tinggi yang segar dan dekat dengan generasi muda, menjalinkan gabungan lakonan, tarian dan nyanyian secara langsung, serta lagu asal dan adaptasi moden, unsur fantasi (jin dan lampu ajaib) dengan sentuhan kontemporari.
Barisan pelakon Teater Aladin terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Johor dan karyawan Johor.
Watak Aladin akan dilakonkan oleh Amirul Haykal dan Puteri Jasmine pula oleh Sarah Naqibah. Sementara itu, Cikgu dan Wazir didokong oleh Knowma Johari, Jin Lampu Takdir (Kim Reza), Jaafar (Izzat Rusli), dan pencerita/penjaga lampu (Lea Mustafa. Mereka semua bakat muda Johor. Manakala watak Sultan Agrabah dipegang oleh Nizam Yamin.
Antara tujuan pementasan Teater Aladin adalah untuk memberi ruang ekspresi seni kepada belia lepasan SPM, mengelakkan golongan muda daripada terjebak dengan aktiviti tidak sihat, mengangkat seni teater sebagai medium pendidikan dan hiburan, dan menyuburkan bakat tempatan Johor tanpa sokongan penaja besar.
Menurut pihak GTTJB, Teater Aladin istimewa dan patut ditonton kerana menyampaikan suara remaja kontemporari yang mengharungi tekanan, mencari impian dan mula berani memilih jalan sendiri.
Tiket untuk pementasan Teater Aladin ialah RM30 (Teater Night Gold) dan RM40 (Teater Night VIP).
Pementasan Teater Aladin diterbitkan dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor (YWJ), Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Tourism Johor, Angsana Johor Bahru Mall, Persatuan Seni Budaya Tari Aliff Johor Bahru, dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Sumbangan tenaga mahir dilunaskan oleh (YWJ).
Sebarang tempahan tiket boleh hubungi 012-3176768 (Liza) dan 013-7769968 (Mell).
