Diterbitkan pada 27 Januari 2026, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal menyuntik kelainan dalam penganjuran aktiviti bersempena Pesta Angin Timur 2026 dengan memperkenalkan tiga acara baharu, iaitu Pertandingan Lagu Puisi, Pertandingan Mewarna dan Eksplorasi Bahasa yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari 2026 di negeri Perlis.

Bagi Eksplorasi Bahasa, penyertaan dibuka secara berkumpulan sebanyak lima orang dengan menyasarkan pelajar Tingkatan Enam, Kolej Matrikulasi, Politeknik dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyelesaikan tugasan berunsurkan kuiz bahasa dan sastera. Manakala Pertandingan Mewarna “Seronoknya Membaca” pula dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) cawangan Perlis bagi golongan prasekolah dan murid tahap satu.

Tambahnya, penganjuran pada tahun ini lebih istimewa dengan pelibatan Persatuan Penulis Perlis sebagai rakan strategik baharu yang dilihat mampu memantapkan lagi pengisian aktiviti kebahasaan sepanjang pesta berlangsung.

Puan Amira Husna, pegawai DBP yang terlibat dalam penganjuran ini menyifatkan bahawa sambutan bagi pertandingan Eksplorasi Bahasa pada kali ini amat memberangsangkan.

“Pendaftaran masih lagi dibuka kepada para peserta yang berminat dan pihak penganjur masih mengalu-alukan kehadiran para peserta bagi menjayakan program ini”, jelasnya.

Mengulas lanjut, Pertandingan Lagu Puisi akan berlangsung pada 7 Februari 2026 pada pukul 2.00 petang dan dibuka bagi kategori (individu) dengan menyasarkan pelajar daripada peringkat sekolah menengah hingga peringkat  IPT.

“Para peserta diberikan kebebasan sama ada untuk mendendangkan lagu ciptaan sendiri ataupun karya asal namun diwajibkan untuk membawa rakaman muzik latar atau minus one sendiri pada hari kejadian”, ujarnya.

Mengakhiri rancangan tersebut, Puan Amira turut menitipkan semangat kepada bakal peserta dengan menyifatkan tiada istilah kalah dalam pertandingan ini.

“Setiap penyertaan tidak akan merugikan, sebaliknya para peserta pasti akan pulang dengan pertambahan ilmu pengetahuan yang bernilai,” jelasnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi