Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung kalinya meraikan penulis muda pada Anugerah Konvokesyen ke-27 di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dengan memperkenalkan Anugerah Tunas Kreatif A. Halim Ali.
Anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan baharu yang diwujudkan bagi menghargai graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) yang aktif dan cemerlang dalam bidang penulisan kreatif.
Anugerah ini dicetuskan oleh YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali, pensyarah di FBK yang juga seorang penulis berpengalaman, sebagai usaha menyuntik semangat berkarya dalam kalangan mahasiswa Kesusasteraan Melayu UPSI agar terus menulis dan menerbitkan karya dalam pelbagai medium penerbitan.
Menurut kenyataan rasmi daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), penganugerahan ini mula disampaikan sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27, dan penerima pertamanya ialah Muhammad Aniq Sapini, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) yang menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Anugerah Tunas Kreatif A. Halim Ali diberikan kepada graduan yang bukan sahaja mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya 3.70, malah turut menunjukkan kecemerlangan dalam penerbitan karya kreatif dan deskriptif yang memenuhi piawaian penerbitan nasional. Calon juga perlu aktif dalam kegiatan persatuan serta memiliki sahsiah terpuji dengan sifat kreatif dan konstruktif.
Majlis penyampaian anugerah ini diadakan dalam Majlis Apresiasi FBK yang berlangsung sempena konvokesyen pada 12 November 2025, dengan penyampaian disempurnakan oleh Dekan FBK, YBrs. Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad. Penerima anugerah dihadiahkan sijil penghargaan dan satu gram blok emas.
Prof. Dr. Abdul Halim Ali dalam ucapan ringkasnya menzahirkan harapan agar anugerah ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk berani menulis, menerbitkan karya dan mengangkat martabat kesusasteraan Melayu dalam arus penerbitan kontemporari.
“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan tetapi dorongan agar mahasiswa Kesusasteraan Melayu UPSI terus berfikir, berkarya dan menyumbang kepada warisan kesusasteraan bangsa,” katanya.