Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Program Syarahan Utama Metode Pengurusan Sastera anjuran Kursus BSK3083 Pengurusan Sastera dalam Pendidikan telah berlangsung di Anjung 1, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 11 Disember lepas.
Program ilmiah tersebut menghimpunkan mahasiswa semester tujuh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu bagi memahami kaedah baharu dalam menganalisis teks secara sistematik dan berstruktur.
Sesi syarahan disampaikan oleh Dr. Fathin Noor Ain Ramli, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, memperincikan konsep pengurusan sebagaimana digunakan dalam organisasi supaya dapat diaplikasikan dalam penganalisisan karya sastera.

Menurutnya, “Jika sesebuah novel itu diibaratkan sebagai organisasi, pengarang bertindak sebagai CEO yang merancang visi dan hala tuju. Plot menjadi rangka operasi, manakala watak berfungsi sebagai sumber manusia yang melaksanakan tindakan naratif.”
Kaedah pengurusan tersebut merangkumi proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan pengawalan. Kesemua proses ini dapat dianalogikan dalam struktur teks. Beliau turut menekankan bahawa pendekatan ini membantu mahasiswa melihat teks sebagai sistem makna yang teratur dan bukannya sekadar cerita.
Melalui analogi organisasi, pelajar dapat memahami fungsi plot, watak, konflik dan tema secara lebih kritis. Sebagai contoh, konflik dalam teks disamakan dengan kegagalan pengurusan nilai dalam organisasi — sama ada wujud ketidakadilan, tekanan sistem atau kecuaian kepemimpinan dalam naratif.
Sesi ini turut mengetengahkan kaedah ini yang boleh memudahkan pelajar mengaplikasikan teori kepimpinan dan pengurusan dalam membaca teks sastera. Beliau turut mengemukakan contoh daripada karya Hamka terutamanya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Merantau ke Deli, dan Di Bawah Lindungan Kaabah yang mengangkat isu pengurusan identiti bangsa bagi menjelaskan bagaimana kerangka ini boleh diaplikasikan dalam penyelidikan akademik.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penggunaan Metode Pengurusan Sastera turut mempunyai cabaran dan batasan tertentu, antaranya termasuklah kesukaran pelajar memahami analogi jika kurangnya contoh, kecenderungan pelajar melihat teks secara mekanikal dan batasan terhadap karya moden berbentuk digital.