Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Pada 17 Januari 2026 nanti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menjadi tumpuan peminat Dato’ (Dr.) M. Nasir apabila seniman serba boleh itu akan menjayakan Konsert Gendang Pati. Beliau akan mendendangkan 16 buah lagunya yang berkonsepkan instrumen gendang untuk persembahan bertujuan amal di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City yang akan bermula pukul 8.30 malam.

Menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saerani, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI, pihaknya komited memperkasakan seni, budaya dan warisan negara menerusi pelbagai inisiatif akademik, serta kegiatan kreatif seperti konsert Gendang Pati, sebagai usaha berterusan universiti menjadikan seni sebagai wadah ilmu, inspirasi dan perpaduan masyarakat.

“Konsert ini bakal mengubat kerinduan peminat dengan deretan karya agung M. Nasir yang merentasi generasi dan membentuk landskap muzik tempatan selama lebih empat dekad,” jelas beliau semasa sidang media konsert berkenaan baru-baru ini di Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh M. Nasir dan Aznan Alias.

Dato’ (Dr.) M. Nasir (tiga dari kiri) bersama-sama Aznan Alias (lima dari kanan), Azam Dungun (dua dari kiri), serta para pegawai UPSI melawat Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Konsert Gendang Pati, tambah Muhammad Fazli, dijangka membawa penonton mengembara menyelusuri perjalanan seninya yang penuh makna menerusi persembahan band secara langsung dan suasana nostalgik yang bakal membangkitkan kenangan.

Dengan kapasiti lebih 3000 penonton, DTC akan bergegar dengan persembahan eksklusif yang tidak berasaskan komersial, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab sosial M. Nasir untuk UPSI yang akan memberi manfaat kepada mahasiswa, selaras dengan aspirasi universiti yang mementingkan kebajikan dan kemanusiaan.

Sidang media Konsert Gendang Pati Dato’ (Dr.) M. Nasir di Kuala Lumpur.

Sementara itu, YBhg. Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor UPSI memberitahu ribuan peminat akan menyaksikan M. Nasir beraksi selama dua jam. Jelas beliau, konsert julung kali tersebut sebagai tanggungjawab sosial beliau kepada UPSI dan tanda penghargaan setelah beliau dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Istiadat Konvokesyen Kali ke-26 UPSI tahun lalu.

“Konsert tersebut menekankan komitmen beliau untuk menyumbang kepada dunia pendidikan dan seni di Malaysia,” tambah Prof. Md. Amin.

M. Nasir, ujar beliau lagi, dijangka akan melantunkan lagu penuh makna seperti Kias Fansuri, Phoenix Bangkit dari Abu, Langgam Pak Dogo, Melawan Arus, serta Pawana (Search) dan Tanya Sama Itu Hud-Hud yang diminati ramai.

Persembahan M. Nasir yang diiringi kumpulan Gong, pimpinan Aznan Alias selaku Pengarah Muzik, akan turut mendendangkan lagu Suatu Masa, Rajawali Terbang Tinggi, Yang Bertakhta Akhirnya, Sentuhan Listrikmu, Dah Lagu Tu, dan Raikan Cinta. Empat buah lagu, iaitu Inang Bujang dan Dara (Illusi), Inang Pulau Kencana, Mentera Semerah Padi dan Sahabat Gua pula akan disampaikan secara rangkaian.

“Menariknya, kumpulan de Vokalis dari UPSI akan mendendangkan sebuah lagi lagu popular M. Nasir, iaitu Mustika,” ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, katanya, dua buah lagu lagi masih menjadi rahsia, hanya akan diketahui oleh penonton konsert Gendang Pati nanti. Selain persembahan utama, acara berkenaan akan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan, termasuk busking dan jualan cenderamata eksklusif di sekitar DTC.

Para peminat juga digalakkan untuk mengikuti kemas kini terkini, video iklan acah, serta pengumuman rasmi menerusi akaun media sosial UPSI di TikTok, Instagram dan Facebook. Mereka masih boleh menempah tiket menerusi https://t2u.asia/e/46312.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi